Home » Penstrukturan semula bahagian mengikut Parlimen perkukuh jentera Gagasan Rakyat
Berita Gagasan Rakyat Politik

Penstrukturan semula bahagian mengikut Parlimen perkukuh jentera Gagasan Rakyat

PERKUKUH ORGANISASI: Presiden Gagasan Rakyat merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama barisan kepimpinan parti pada Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Gagasan Rakyat di Kota Kinabalu, Sabtu.

KOTA KINABALU:Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mengumumkan pelantikan 25 Ketua Bahagian (Penaja) baharu menerusi penstrukturan semula bahagian parti mengikut kawasan Parlimen, sebagai langkah memperkukuh struktur organisasi dan kepimpinan di peringkat akar umbi.

Pelantikan yang diumumkan pada Sabtu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu menampilkan gabungan pemimpin berpengalaman, tokoh muda dan muka baharu daripada pelbagai latar belakang serta kepakaran.

Gagasan Rakyat dalam satu kenyataan berkata, barisan kepimpinan berkenaan mencerminkan usaha parti membentuk organisasi yang lebih dinamik, inklusif dan responsif terhadap keperluan rakyat.

Menurut kenyataan itu, pemilihan Ketua Bahagian (Penaja) dibuat berdasarkan beberapa pertimbangan, termasuk pengalaman dan kemampuan memimpin, rekod khidmat kepada masyarakat, penerimaan akar umbi serta keupayaan menggerakkan organisasi secara berkesan.

“Kehadiran pemimpin senior akan terus menjadi sumber pengalaman dan panduan strategik kepada parti, manakala penglibatan pemimpin muda serta muka baharu membawa idea, pendekatan dan tenaga baharu dalam memperkukuh gerak kerja organisasi,” menurut kenyataan itu.

Parti berkenaan berkata, pelantikan tersebut bukan sekadar pengisian jawatan, sebaliknya sebahagian daripada proses membina kepimpinan merentas generasi yang mampu bergerak seiring dalam mendepani perubahan landskap politik serta tuntutan masyarakat semasa.

Ketua Bahagian (Penaja) yang dilantik turut dipertanggungjawabkan untuk memperkemas organisasi, memperkukuh jaringan akar umbi, memperluas keahlian dan meningkatkan aktiviti parti di kawasan masing-masing.

Pada masa sama, mereka perlu memastikan setiap bahagian berfungsi sebagai penghubung berkesan antara kepimpinan parti dengan masyarakat setempat, termasuk membawa aspirasi dan isu rakyat ke peringkat lebih tinggi.

Ketua Menteri yang juga Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata kekuatan sesebuah organisasi bukan hanya bergantung kepada individu yang memimpin, tetapi turut ditentukan oleh kerjasama seluruh pasukan serta keupayaan kepimpinan bahagian menterjemahkan agenda parti menerusi khidmat kepada masyarakat.

“Kita mahu setiap bahagian menjadi organisasi yang hidup, aktif dan benar-benar memahami denyut nadi rakyat.

“Ketua Bahagian bukan sekadar memegang jawatan, tetapi memikul amanah untuk membina organisasi, menyatukan ahli dan membawa suara masyarakat ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Antara Ketua Bahagian (Penaja) yang dilantik ialah Dato’ Sri Ruddy Awah bagi Kudat, Saripin Magana (Kota Marudu), Datuk Mohd Arsad Bistari (Kota Belud), Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor (Tuaran), Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi (Sepanggar), Datuk Faisyal Diego (Kota Kinabalu), Shah Alfie Yahya Ahmad Shah (Putatan), Datuk Ceasar Mandela Malakun (Penampang), Dato’ Sri Gulamhaidar Khan Bahadar (Papar), Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif (Kimanis), Datuk Isnin Aliasnih (Beaufort), Datuk Dr Yusof Yacob (Sipitang) dan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun (Ranau).

Turut dilantik ialah Datuk Azaman Ruslan bagi Keningau, Datuk Rubin Balang (Tenom), Datuk Abdul Ghani Yassin (Pensiangan), Datuk James Ratib (Beluran), Datuk Hazem Mubarak Musa (Libaran), Datuk George Hiew Vun Zin (Batu Sapi), Datuk Awang Kadin Tang (Sandakan), Datuk Masiung Banah (Kinabatangan), Rajesh Yusof (Lahad Datu), Datuk Dr Mohd. Jasmin Julpin (Semporna), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Tawau) dan Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal (Kalabakan).

Gagasan Rakyat berharap penstrukturan itu menjadi titik tolak kepada pembentukan saf kepimpinan bahagian yang lebih kukuh, tersusun dan berkesan dalam memperkasakan gerak kerja parti.

Gabungan pengalaman pemimpin senior dengan tenaga serta perspektif generasi baharu juga diyakini mampu memberi nafas baharu kepada organisasi dan memperkukuh hubungan parti dengan masyarakat.

Parti itu turut mengucapkan tahniah kepada semua Ketua Bahagian (Penaja) yang dilantik dan berharap amanah berkenaan dapat dilaksanakan dengan penuh integriti, komitmen serta semangat berpasukan demi kepentingan parti dan rakyat.