Home » Pemerkasaan ekonomi jadi keutamaan Wanita Gagasan Rakyat Semporna
Berita Gagasan Rakyat Politik

Pemerkasaan ekonomi jadi keutamaan Wanita Gagasan Rakyat Semporna

PERKASA WANITA: Ketua Wanita Gagasan Rakyat Parlimen Semporna, Datin Saadiah Abdul Rashad, mahu memperluas peluang keusahawanan, pembangunan kemahiran dan kerjaya bagi membantu memperkukuh kedudukan ekonomi wanita di Semporna.

SEMPORNA: Golongan wanita di Semporna bakal diberi lebih banyak peluang meningkatkan keupayaan ekonomi dan taraf hidup menerusi program keusahawanan, pembangunan kemahiran serta kerjaya.

Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Parlimen Semporna, Datin Saadiah Abdul Rashad, berkata pemerkasaan ekonomi wanita, khususnya di kawasan luar bandar, menjadi antara agenda utama yang akan diberi perhatian selepas beliau menerajui sayap wanita parti itu di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, langkah awal adalah turun padang mendekati masyarakat bagi mendengar sendiri aspirasi, permasalahan dan keperluan golongan wanita sebelum perkara berkenaan dibawa kepada perhatian pucuk pimpinan.

“Insya-Allah, antara pendekatan awal kita ialah turun menemui masyarakat Semporna dan mendengar sendiri suara mereka untuk dibawa kepada pucuk pimpinan.

“Kita berharap aspirasi masyarakat untuk melihat Semporna terus maju dapat direalisasikan bersama kepimpinan baharu Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Pemasangan Jalur Gemilang pada kenderaan dan motosikal di sini.

Menurut Saadiah, wanita mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada ekonomi keluarga dan masyarakat sekiranya diberikan akses kepada latihan, kemahiran serta peluang yang bersesuaian.

Sehubungan itu, Wanita Gagasan Rakyat Parlimen Semporna merancang menjalin kerjasama dengan jabatan dan kementerian berkaitan bagi melaksanakan program pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada golongan berkenaan.

“Kami merancang bekerjasama dengan jabatan dan kementerian berkaitan dalam melaksanakan aktiviti khusus untuk wanita, terutama program yang dapat memperkukuh kedudukan ekonomi mereka.

“Antaranya termasuk kursus keusahawanan, peningkatan kemahiran serta program pembangunan kerjaya,” katanya.

Saadiah berkata, kerjasama dengan Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah juga akan diperkukuh bagi memperluas pelaksanaan program pembangunan wanita luar bandar ke Semporna.

Katanya, latihan dan pendedahan yang bersesuaian bukan sahaja dapat membantu wanita memperoleh kemahiran baharu dan menjana pendapatan, malah meningkatkan keyakinan serta keupayaan mereka untuk berdikari.

Pada masa sama, beliau berkata pendekatan turun padang penting bagi memastikan setiap program yang dirancang benar-benar memenuhi keperluan masyarakat dan tidak sekadar bersifat bermusim.

“Kami akan terus mendekati wanita di seluruh Semporna dan mengajak mereka bersama-sama menyertai program pembangunan yang disediakan.

“Usaha ini bukan sahaja memberi manfaat kepada diri mereka, tetapi turut membantu keluarga dan masyarakat Semporna secara keseluruhannya,” katanya.

Saadiah berkata, wanita memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat dan usaha memperkasakan golongan itu perlu dilaksanakan secara berterusan supaya potensi mereka dapat dikembangkan sepenuhnya. “Wanita Gagasan Rakyat Parlimen Semporna akan berusaha menjadi penghubung antara wanita di akar umbi dengan kerajaan serta pucuk pimpinan supaya suara, keperluan dan aspirasi mereka terus mendapat perhatian,” katanya.