Home » SMJ 2.0 perkasa pendidikan, persiap anak Sabah hadapi masa depan
Berita GRS • Politik

SMJ 2.0 perkasa pendidikan, persiap anak Sabah hadapi masa depan

RAIKAN 25 TAHUN: Hajiji pada sambutan Jubli Perak SMK Sri Nangka — sekolah yang mempunyai nilai sentimental kepada beliau kerana pembinaannya bermula daripada permohonannya bagi sebuah sekolah menengah baharu di kawasan Sulaman.

TUARAN:Pembangunan modal insan terus menjadi keutamaan Kerajaan Negeri dalam fasa baharu pembangunan Sabah menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, bagi mempersiapkan generasi muda menghadapi keperluan masa depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata penekanan itu selaras dengan Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat yang menjadi antara pemacu utama Pelan Pembangunan SMJ 2.0.

Beliau berkata, masa depan Sabah tidak boleh bergantung kepada kekayaan sumber alam, pembangunan fizikal atau kemajuan ekonomi semata-mata, kerana kekuatan sebenar negeri terletak pada rakyatnya.

“Kita memerlukan generasi yang berilmu, berkemahiran, berintegriti, celik teknologi dan digital, mampu berfikir secara kritis dan kreatif serta mempunyai nilai kemanusiaan dan jati diri yang kukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal Jubli Perak sempena 25 Tahun SMK Sri Nangka, di sini.

Hajiji berkata, sistem pendidikan juga perlu bergerak seiring perkembangan semasa dengan memberi penekanan kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kemahiran serta pembangunan bakat.

Dalam memperluas akses kepada pendidikan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM155 juta bagi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) tahun ini, berbanding RM50 juta pada 2020.

Sebanyak 14 inisiatif berkaitan pendidikan turut diperkenalkan sepanjang 2021 hingga 2025 — termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran Institusi Pengajian Tinggi (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) serta bantuan perjalanan kepada pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian di Semenanjung, Sarawak dan dalam negeri.

Kerajaan Negeri turut memperkukuh pendigitalan perkhidmatan pendidikan menerusi Sistem TPNS Smart Application, yang membolehkan permohonan bantuan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) dibuat sepenuhnya secara dalam talian.

Menurut Hajiji, pelbagai inisiatif itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus menjadikan pendidikan sebagai asas pembangunan modal insan Sabah yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.

Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa kemajuan teknologi perlu diseimbangkan dengan pembentukan nilai, akhlak dan integriti.

“Kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja cerdik akalnya dan tinggi kemahirannya, tetapi berakhlak, berintegriti dan berjiwa besar untuk membangunkan Sabah,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama guru, ibu bapa, kerajaan, komuniti dan sektor swasta.

Mengenai sambutan Jubli Perak SMK Sri Nangka, Hajiji berkata tempoh 25 tahun menyaksikan sekolah itu melalui pelbagai fasa pembangunan serta melahirkan ribuan pelajar yang kini menyumbang dalam pelbagai bidang.

Beliau berkata, SMK Sri Nangka mempunyai nilai sentimental kepadanya kerana pembinaan sekolah itu bermula daripada usahanya memohon sebuah sekolah menengah baharu bagi kawasan Sulaman.

Menurutnya, beliau ketika itu mengambil kesempatan bertemu Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, untuk mengemukakan permohonan pembinaan sekolah berkenaan sebelum menerima surat kelulusan beberapa bulan kemudian.

Hajiji berkata, sekolah itu pada asalnya dinamakan SMK Tajau sebelum beliau mencadangkan nama SMK Sri Nangka — mengambil sempena nama lama kawasan berkenaan yang dikenali masyarakat tempatan sebagai Nangka atau Kampung Nangka.

Menurutnya, nama “Nangka” bukan merujuk kepada pokok atau buah nangka, sebaliknya mempunyai sejarah tersendiri dalam kalangan masyarakat tempatan dan turut dikaitkan dengan pengertian kekuatan dalam masyarakat Bajau Sama.

Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada semua pengetua dan guru yang pernah serta masih berkhidmat di sekolah berkenaan atas sumbangan mereka dalam mendidik generasi muda.

“Guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi membentuk pemikiran, membina keyakinan, mencungkil bakat dan membantu menentukan arah masa depan anak-anak bangsa,” katanya.

Beliau berharap sambutan Jubli Perak itu menjadi pemangkin kepada usaha meningkatkan kemudahan pembelajaran serta membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada pelajar.

“Saya berharap sekolah ini terus melahirkan generasi berilmu dan berakhlak, serta terus menjadi sebahagian daripada kekuatan pembangunan Sabah,” katanya.