Home » Acara perniagaan mendorong pertumbuhan ekonomi
Berita GRS Politik

Acara perniagaan mendorong pertumbuhan ekonomi

KERJASAMA: Dr Jeffrey menyaksikan salah satu daripada tiga MoU yang ditandatangani di BE In Sabah, pada Khamis di sini.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah, melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, akan terus mengutamakan acara perniagaan, mengiktiraf peranannya yang penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan menggalakkan kerjasama merentasi rantau Asia Pasifik.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata dengan pengaruh sektor ini yang semakin meningkat dalam perdagangan, pelaburan, dan perkongsian ilmu, terdapat sokongan padu terhadap inisiatif yang memperkukuh ekosistem acara perniagaan serantau.

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

“Ketika Asia Pasifik terus berkembang sebagai hab global bagi inovasi dan pembangunan industri, platform seperti Business Event (BE) in Sabah 2025 memainkan peranan penting dalam membentuk masa depannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Forum Acara Perniagaan Antarabangsa ke-2 – BE in Sabah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah pada Khamis di sini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.

Menurutnya, persidangan, pameran perdagangan, dan program insentif bukan lagi sekadar platform untuk menjalin hubungan. Ia adalah pemangkin kepada transformasi ekonomi, perkongsian ilmu, dan kerjasama strategik.

Katanya, dalam landskap inilah BE in Sabah 2025 muncul, memperkukuh visi kolektif kita untuk memperkasakan Asia Pasifik melalui acara perniagaan.

“Acara perniagaan bukan sahaja merapatkan hubungan, tetapi turut memacu industri ke hadapan. Ia mewujudkan platform untuk dialog pelaburan, memudahkan kemasukan syarikat multinasional dan merangsang pertumbuhan sektor yang sedang berkembang.

“Kesan ekonominya melangkaui dewan acara – ia mengukuhkan rantaian bekalan, meningkatkan keupayaan tenaga kerja, dan mempercepatkan kemajuan industri,” katanya.

Hajiji menyatakan bahawa kehadiran kira-kira 800 delegasi dari lebih 30 negara yang mewakili pelbagai perdagangan dan industri dalam persidangan ini adalah bukti peningkatan kepentingannya BE in Sabah 2025 sebagai platform utama untuk penglibatan serantau dan global dalam industri acara perniagaan.

“Sabah berbesar hati dengan kehadiran dan penyertaan pakar serta pemimpin industri. Panduan strategik anda bukan sahaja akan memperkukuh amalan terbaik industri tetapi membuka peluang untuk berinteraksi dengan pasaran antarabangsa, membina pakatan baharu, menjalin kerjasama, dan meningkatkan kedudukan Sabah dalam sektor acara perniagaan global.

“Saya yakin bahawa rangkaian ini akan membawa peluang besar kepada para peserta untuk belajar dan berkongsi pengalaman,” katanya. 

— Hamzah Sanudin