Home » 200 usahawan wanita muda Sabah terima manfaat program DAYANG
Berita GRS Politik

200 usahawan wanita muda Sabah terima manfaat program DAYANG

PELANCARAN: Masidi mewakili Hajiji melakukan gimik pelancaran Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda di SICC di sini.

KOTA KINABALU: Kira-kira 200 usahawan wanita muda di Sabah akan menerima manfaat daripada program Daya Upaya Peluang Usahanita (DAYANG) dan turut menawarkan pakej pinjaman yang menarik.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, DAYANG adalah antara yang dilaksanakan dalam Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda sebagai salah satu inisiatif utama dalam Belanjawan Negeri Sabah 2025 untuk membantu usahawan wanita muda di negeri ini.

“Program ini bukan sekadar menyediakan modal, tetapi merangkumi sokongan menyeluruh melalui bimbingan dan latihan yang melibatkan sesi mentoring oleh pakar industri serta pendedahan kepada strategi pemasaran yang lebih efektif bagi memastikan kejayaan mereka dalam jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Khamis di sini.

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Teks ucapan Hajiji dibacakan Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Bercakap lanjut beliau berkata, kerajaan negeri amat prihatin dan sentiasa memastikan golongan wanita di negeri ini mendapat peluang dan faedah yang sama rata dalam pelbagai bidang.

Katanya, selain melantik lebih ramai wanita sebagai pembuat dasar dan keputusan dalam pelbagai sektor perkhidmatan awam, kerajaan tidak mengabaikan usaha memperkasakan golongan itu yang terbabit dalam perniagaan kecil dan sederhana.

CEK: Masidi menyaksikan penyerahan replika cek kepada kerajaan negeri untuk Program Keusahawanan Wanita Muda pada majlis terbabit.

“Pelbagai peluang dan program disediakan, termasuk Program Pembangunan Usahawan Belia (SYABAS) yang memberi manfaat kepada lebih 5,000 belia di seluruh negeri.

“Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) akan melaksanakan pelbagai program untuk membantu Perusahaan Micro, Kecil dan Sederhana di Sabah, seperti program SME-Up, pemasaran dan promosi produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta kursus pembangunan usahawan tahun ini di seluruh Sabah”, katanya.

Menurutnya, setakat ini 8,031 usahawan PKS berdaftar dengan MIDE dan berharap lebih ramai akan mengambil bahagian untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi dan Sabah.

Katanya, MIDE juga mengenal pasti 87 usahawan untuk menyertai ekspo antarabangsa dan memperluas pasaran produk mereka.

“Realitinya usahawan wanita sering berhadapan dengan cabaran utama seperti kekangan modal, kekurangan akses kepada teknologi, pasaran, dan rangkaian sokongan yang diperlukan untuk memulakan serta mengembangkan perniagaan mereka.

“Cabaran ini bukan sahaja menghadkan peluang mereka untuk meningkatkan kapasiti dan produktiviti, malah turut menghalang potensi mereka untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri”, katanya.

Hajiji berharap Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda yang dianjurkan bersama oleh Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) dan Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) akan menjadi pencetus semangat kepada usahawan wanita muda untuk terus berjaya dalam perniagaan masing-masing.

— TAMAT

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment