Home » ACASA jadi rujukan, panduan komprehensif warga kerja SAFODA jauhi rasuah
Politik

ACASA jadi rujukan, panduan komprehensif warga kerja SAFODA jauhi rasuah

INTEGRITI: Hamid (dua kanan) semasa pembacaan ikrar rasuah SAFODA di sini.

KOTA KINABALU: Buku Pelan Anti Rasuah Lembaga Kemajuan Perhutanan Sabah (SAFODA) (ACASA) berjaya diterbitkan bagi tempoh 2023 hingga 2027.

Pengerusi Lembaga SAFODA Datuk Hamild @ Hamid Awang berkata ACASA diharap menjadi rujukan dan panduan komprehensif kepada semua warga kerja SAFODA termasuklah kumpulan pengurusan tertinggi sehingga ke peringkat bawahan.

“Pelan Anti Rasuah (PAR) SAFODA adalah satu perancangan dasar anti rasuah yang akan menjadi rujukan terhadap pembentarasan rasuah dalam perkhidmatan serta menangani permasalahan kelemahan pentadbiran.

“Pelan ini juga memaparkan hasrat dan kesungguhan pihak pengurusan SAFODA untuk pemantapan integriti seluruh kerja warga SAFODA bagi menghapuskan amalan rasuah dan salah laku integriti dalam organisasi,” katanya semasa berucap melancarkan ACASA di sini.

IKRAR: Kakitangan SAFODA semasa melafazkan ikrar bebas rasuah.

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai, Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM  Alexander S Kunghi, Timbalan Pengerusi SAFODA Ardino Diris dan Pengurus Besar SAFODA Bahrul Razha Chuprat.

Katanya segala perancangan dan mekanisme  diharap dapat mewujudkan kawalan dalaman dan meningkatkan kesadaran, komitmen dan kerjasama warga SAFODA berkenaan nilai-nilai kerja berintegriti serta menolak sebarang perlakuan rasuah yang tidak bermoral dalam organisasi.

“Kita harapkan setiap warga dalam organisasi ini akan memberikan sepenuh komitmen bagi memastikan pelaksanaan tujuh inisiatif yang dirancang dalam pelan ACASA 2023-2027 dapat dicapai dengan membudayakan amalan intergriti yang tinggi dalam pentadbiran bagi merealisasikan hasrat lembaga ini bebas rasuah,” katanya.

Menurutnya integriti adalah aspek yang sangat penting bukan hanya berfokus kepada isu rasuah malah satu konsep yang lebih besar membabitkan amalan budaya kerja cemerlang.

“Ketepatan waktu, penyampaian maklumat, perkhidmatan, kerahsiaan maklumat, menepati janji, pergaulan antara rakan sekerja juga berkait rapat dengan integriti dan kehidupan kita tidak dapat lari daripada berinteraksi dengan masyarakat sama ada dalam urusan rasmi mahu pun tidak rasmi,” katanya.

Vivi Olviana Najurus