KUALA SELANGOR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) hari ini membuat laporan polis selepas gambar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor diubah suai dan didakwa tidak pandai berbahasa Inggeris, tular di laman sosial.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, hantaran berbentuk fitnah itu dimuat naik dipercayai didalangi ahli dan pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) yang jelas memfitnah dan mengaibkan Hajiji.
“Salah laku ini bukan kali pertama berlaku. Hampir setiap hari beliau difitnah dengan begitu dahsyat.
“Mereka (Warisan) buat poster dengan mesej ‘katanya belajar sampai Amerika (Syarikat), tetapi kenapa Bahasa Inggeris Hajiji teruk sampai selalu mengelak soalan wartawan dalam Bahasa Inggeris’.
“Tuduhan itu cukup jahat, seolah-olah Hajiji tidak belajar di Amerika Syarikat,” katanya kepada MalaysiaGazette di luar perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, di sini , kelmarin.
Terdahulu, Zulkarnain membuat laporan polis terhadap pentadbir laman Facebook bernama Borneo Voice antara lain memuat naik hantaran berbunyi ‘Katanya belajar sampai Amerika (Syarikat), tetapi kenapa Bahasa Inggeris Hajiji teruk, sampai selalu mengelak soalan wartawan dalam Bahasa Inggeris’.
Tambah Zulkarnain, Hajiji mempunyai kelulusan akademik di peringkat ijazah dari Amerika Syarikat.
“Sebelum menceburi bidang politik, beliau pernah menjadi pegawai kastam dan fasih berbahasa Inggeris.
“Saya tanya rakan media di Sabah, tidak pernah sekali pun Hajiji menolak untuk ditemuramah dalam bahasa Inggeris, melainkan bahasa Tamil dan Cina,” katanya.
Jelasnya, tindakan pemimpin Warisan dianggap melampau sedangkan mereka sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
“Apa sebab parti itu berbuat demikian? Ironinya bukan setakat Hajiji diserang, malah Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga tidak terkecuali.
“Kalau serang dengan fakta, tiada masalah. Tetapi ini serang dengan fitnah,” katanya.
Katanya, beliau percaya undang-undang di negara ini berjalan dengan baik termasuk Akta Fitnah dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Sebab itu kami ambil keputusan 100 fitnah mereka buat, 100 laporan polis akan menyusul,” katanya.
Add Comment