SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, George Hiew Vun Zin hari ini mengumumkan keluar dari Parti Warisan Sabah dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
George berkata, rakyat sudah tidak mahu melihat keadaan politik yang tidak stabil yang telah mengakibatkan terbantutnya perkembangan dan kemajuan di Sabah, termasuk kawasan Karamunting.
“Rakyat sudah penat dengan kemelut politik di Sabah. Hanya dengan kestabilan politik yang utuh kita boleh membawa pembangunan dan perubahan, khususnya di Karamunting yang mendahagakan pelbagai pembaharuan dan pembangunan.
“Demi pembangunan dan kesahteraan rakyat di kawasan Karamunting, saya membuat keputusan untuk menyokong kepimpinan kerajaan perpaduan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga kerajaan negeri Sabah di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Sabtu.
George memenangi kerusi Karamunting atas tiket Warisan pada tahun 2018 dan 2020. Beliau pernah menjadi Pembantu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan selama dua tahun.
Susulan pengumuman itu, George menjadi ADUN ke-11 Warisan meninggalkan parti terbabit.
Sebelum ini, sepuluh ADUN yang mengumumkan keluar Warisan adalah Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik), Dr Yusof Yacob (Sindumin), Mohamaddin Ketapi (Segama), Peter Anthony (Melalap), Juil Nuatim (Limbahau) dan Rina Jainal (Kukusan), Mohamad Mohamarin (Banggi), Chong Chen Bin (Tanjung Kapor) dan Norazlina Arif (Kunak) Norazlinah Arif (Kunak), Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Chong Chen Bin (Tanjung Kapor) dan Datuk Awang Ahmad Sah Sahari (Petagas).
— Radhi Muslim
Add Comment