TAWAU: Penglibatan agensi awam dan swasta dalam setiap aktiviti di peringkat sekolah mampu memberikan pendedahan kepada murid terhadap fungsi serta peranan mereka di negara ini.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerjasama warga sekolah dengan agensi awam dan swasta dilihat dapat memberikan pendidikan baharu mereka.
Katanya, masih ramai lagi murid sekolah rendah yang belum tahu tentang peranan dan fungsi yang dimainkan oleh agensi-agensi awam di negara ini.
“Pengetahuan itu juga perlu kerana ia boleh memberi penjelasan lebih lanjut mengenai perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh rakyat di negara ini.
“Justeru, saya melihat pihak sekolah harus terus melibatkan lebih banyak agensi awam dan swasta dalam setiap penganjuran program yang bakal dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Nizam berkata, karnival 3K ini adalah inisiatif yang sangat baik dilakukan pihak sekolah kerana ia mampu merapatkan hubungan antara warga sekolah dengan ibu bapa murid.
Katanya, pendekatan karnival 3K ini cukup berkesan kerana ia melibatkan kepentingan kehidupan seharian murid-murid sama ada di sekolah mahupun di rumah.
“Sememangnya setiap murid perlu memastikan tahap kebersihan, kesihatan dan keselamatan berada dalam keadaan yang terbaik.
“Pendekataan 3K ini juga mampu menyuntik semangat kepada murid sekolah untuk memperolehi kecemerlangan serta menaikkan nama baik sekolah, keluarga dan daerah ini,” katanya.
— HS
Add Comment