Home » Agong zahirkan keprihatinan, sumbang RM500,000 kepada mangsa kebakaran Sabah
Berita GRS Politik

Agong zahirkan keprihatinan, sumbang RM500,000 kepada mangsa kebakaran Sabah

SUMBANGAN: Hajiji menerima sumbangan RM500,000 bagi pihak mangsa kebakaran di Kudat dan Sandakan daripada Pemegang Amanah Urusan Yayasan Sultan Ibrahim Johor, Tan Sri Avinderjit Singh, sambil disaksikan oleh Sultan Ibrahim di Istana Negara.

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan sumbangan berjumlah RM500,000 kepada mangsa-mangsa yang terjejas akibat tragedi kebakaran di Kudat dan Sandakan, Sabah.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pemegang Amanah Urusan Yayasan Sultan Ibrahim Johor, Tan Sri Avinderjit Singh kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam satu majlis di Istana Negara, di sini, Khamis, sambil disaksikan oleh Sultan Ibrahim.

Hajiji merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas keprihatinan dan kemurahan hati Baginda dalam membantu rakyat Sabah yang ditimpa musibah.

Menurut beliau, sumbangan tersebut mencerminkan keprihatinan Baginda terhadap kebajikan rakyat yang terkesan akibat bencana kebakaran, khususnya melibatkan penduduk di Kampung Gumpa, Kudat dan Kampung Bahagia, Sandakan.

“Kerajaan Negeri Sabah amat menghargai sumbangan dan sokongan yang dizahirkan oleh Seri Paduka Baginda kepada mangsa-mangsa yang terjejas akibat tragedi kebakaran di negeri ini.

“Bantuan ini pastinya memberi sinar harapan dan sedikit kelegaan kepada keluarga yang sedang berdepan kesukaran akibat kehilangan tempat tinggal serta harta benda,” katanya.

𝗝𝗣𝗕𝗡 𝗦𝗮𝗯𝗮𝗵 𝗧𝗲𝗿𝘂𝘀 𝗦𝗲𝗹𝗮𝗿𝗮𝘀 𝗕𝗮𝗻𝘁𝘂𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗻 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗷𝗶𝗸𝗮𝗻 𝗠𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮
Hajiji berkata, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah akan terus memperkukuh usaha penyelarasan bantuan kebajikan, pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS) serta memastikan kebajikan dan kesejahteraan mangsa sentiasa diberi perhatian.

Turut hadir pada majlis itu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong; Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Awang Shahminan Sahari; Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Datuk Walter Kenson; serta Pegawai Daerah Kudat, Charles William Dabbi.

𝗟𝗮𝘁𝗮𝗿 𝗕𝗲𝗹𝗮𝗸𝗮𝗻𝗴 𝗧𝗿𝗮𝗴𝗲𝗱𝗶 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗸𝗮𝗿𝗮𝗻
Pada 16 April lalu, kebakaran di Kampung Gumpa, Kudat memusnahkan lapan buah rumah dan menjejaskan 67 mangsa. Sementara itu, kebakaran besar di Kampung Bahagia, Sandakan pada 18 April lalu memusnahkan kira-kira 1,050 buah rumah serta menjejaskan seramai 914 Ketua Isi Rumah (KIR).