KOTA KINABALU: Kerajaan perlu menjalankan siasatan lanjut terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan ruang kepada pihak yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu (pihak penuntut) dalam memanipulasi mekanisme mahupun proses perundangan antarabangsa melalui pendekatan ‘forum shopping.
Gesaan berkenaan dibuat oleh semua Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan (Keningau), Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau), Datuk Matbali Musah (Sipitang), dan Lo Su Fui (Tawau).
Dalam kenyataan Ahli Parlimen GRS, ia termasuk siasatan lanjut dan terperinci terhadap tindakan mantan Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas yang mengutuskan surat kepada peguam pihak penuntut bertarikh 19 September 2019.
Tindakan bekas Peguam Negara itu tanpa mendapat persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri sebagaimana jawapan kerajaan di Dewan Rakyat pada 28 Mac 2023.
Kenyataan Media Ahli-Ahli Parlimen GRS
“Gesaan kami juga adalah sejajar dengan pendirian GRS yang sejak dari awal mempertikaikan tindakan mantan Peguam Negara itu dalam menguruskan isu berkaitan tuntutan tidak berasas berkenaan.
“Pendirian ini dizahirkan dengan tindakan sembilan pemimpin GRS yang memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 16 Ogos 2022 terhadap mantan Peguam Negara itu,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Ahli-Ahli Parlimen GRS menyokong penuh ketegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jenayah menurut undang-undang terhadap mana-mana pihak termasuk warganegara Malaysia, yang membelakangkan kepentingan dan keselamatan negara dengan memberikan sebarang sokongan, bantuan secara langsung mahupun tidak langsung dan bersekongkol dengan pihak yang membuat tuntutan.

Ahli-Ahli Parlimen GRS
Penghargaan tinggi turut diberikan kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri atas strategi dan pendekatan berkesan yang diambil dalam menangani isu tuntutan daripada lapan warga Filipina yang mendakwa kononnya sebagai waris Sultan Sulu yang memfailkan tuntutan di empat negara bermula dari 2019.
“Sebagaimana yang dibentangkan oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam (14 Jun 2023), terkini Mahkamah Rayuan Perancis membuat keputusan untuk membatalkan Perintah Pelaksanaan (Exequatur) yang dikeluarkan oleh Mahkamah Paris pada 29 September 2021 yang mengiktiraf ‘Preliminary Award’ yang dikeluarkan pada 25 Mei 2020,” jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, Ahli-Ahli Parlimen GRS turut menyeru kerajaan Persekutuan untuk memperkukuhkan tadbir urus bagi memastikan tidak ada mana-mana pihak dalam kerajaan pada masa akan datang yang bertindak secara unilateral dalam hal-hal sensitif yang melibatkan integriti wilayah dan kedaulatan tanah air khususnya negeri Sabah termasuk keperluan untuk melaksanakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri Sabah.
— Siti Aisyah Narudin
Add Comment