Home » Andi, Yusof tekad bersihkan nama melalui mahkamah
Berita GRS Politik

Andi, Yusof tekad bersihkan nama melalui mahkamah

BERTEKAD: Andi (kiri) dan Yusof (dua kiri) bertekad membersihkan nama menerusi undang-undang.

KOTA KINABALU: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Yusof Yacob dan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy tekad dengan pendirian untuk membersihkan nama masing-masing melalui proses perundangan selepas dikaitkan dengan dakwaan rasuah berkenaan skandal perlesenan perlombongan mineral.

Ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu hari ini, Yusof menegaskan beliau dan Andi yakin dengan keadilan sistem kehakiman negara.

“Saya ingin menegaskan dan yakin kami tidak bersalah dalam kes ini. 

“Kami telah banyak dimanipulasi oleh media dan melalui proses mahkamah ini, kami akan membersihkan nama kami,” katanya.

Katanya, tuduhan yang dikenakan itu tidak akan mengganggu fokus mereka sebagai wakil rakyat.

“Ini hanyalah permulaan kepada usaha membersihkan nama. Kami yakin dengan sistem keadilan dan proses mahkamah negara ini.

” Prinsipnya jelas seseorang itu tidak bersalah selagi belum dibuktikan bersalah.

“Kami mahu fokus kepada tugas kami, terus berkhidmat kepada rakyat dan menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan,” katanya.

Sementara itu, Andi turut menyatakan komitmen penuh untuk mengikuti segala prosedur perundangan.

 “Saya ingin tegaskan sekali lagi, saya tidak bersalah dan akan menurut semua prosedur di mahkamah ini. 

“Saya menyunjung tinggi kedaulatan undang-undang negara kita dan yakin proses perundangan akan berjalan dengan telus dan adil,” katanya

Menurutnya, proses itu akan menjadi medan untuk membuktikan kebenaran.

 “Saya bersama-sama dengan Dr. Yusuf akan membuktikan bahawa kami tidak bersalah, dan insyaAllah, proses ini akan berjalan dengan baik. 

“Dalam masa yang sama, saya akan terus melaksanakan tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat. Itu yang paling utama,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kedudukannya sebagai pembantu menteri, Andi menegaskan tidak mempunyai komen mengenai perkara itu dan menunggu arahan selanjutnya. 

–Yap Siong Han