Home » Gagasan Rakyat sedia pertahan DUN Kuamut – Masiung
Berita GRS Politik

Gagasan Rakyat sedia pertahan DUN Kuamut – Masiung

JENTERA: Masiung (tiga kiri) bersama Ahli Jawatankuasa Bahagian Gagasan Rakyat Kuamut melancarkan jentera PRN-17.

TONGOD: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyatakan kesiapsiagaan sepenuhnya untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) yang akan datang.

Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Masiung Banah berkata, keyakinan itu berdasarkan sokongan berterusan rakyat di kawasan berkenaan yang mahu parti tempatan kekal menerajui tampuk pemerintahan negeri.

Katanya, Gagasan Rakyat komited untuk menyumbang sekurang-kurangnya satu kerusi kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sekali gus membawa suara rakyat yang mahukan kestabilan politik dan pembangunan berterusan di Sabah.

“Suara rakyat Sabah yang mahukan parti tempatan terus menerajui kerajaan negeri harus dihormati. Gagasan Rakyat yang dipimpin Ketua Menteri wajar menjadi tulang belakang kepada GRS,” katanya

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat Kuamut di Dewan Entilibon, di sini, pada Sabtu.

Lebih 2,000 perwakilan dan pemerhati hadir dalam persidangan itu yang turut menyaksikan pelancaran jentera PRN-17 Gagasan Rakyat Kuamut membabitkan tiga sayap utama parti iaitu Pemuda, Wanita dan Beliawanis.

 Masiung menerima cenderahati dari pengerusi penganjur, Tokyo Hasim Omar.
PENGHARGAAN: Masiung menerima cenderahati dari pengerusi penganjur, Tokyo Hasim Omar.

Masiung yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kuamut menegaskan bahawa pelancaran awal jentera pilihan raya adalah petunjuk jelas kesungguhan dan kesiapsiagaan parti itu menghadapi cabaran daripada parti lawan.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan kesediaan untuk terus berkhidmat kepada rakyat di kawasan berkenaan sekiranya dicalonkan semula dalam PRN akan datang.

“Kita memohon restu kepada para pemimpin GRS di Kuamut supaya nama Masiung Banah turut disenaraikan dalam tiga nama yang akan dicadangkan bertanding pada PRN-17,” katanya.

Menurutnya, satu mesyuarat khas bersama pimpinan GRS Kuamut akan diadakan dalam masa terdekat bagi menyelaras gerak kerja jentera pilihan raya secara bersama.

“Semua sayap parti telah mula digerakkan bagi memastikan parti komponen GRS dapat menyusun atur perjalanan kempen dengan teratur dan menyeluruh,” katanya. 

— Hamzah Sanudin