SELANGOR: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, menafikan dakwaan yang mengaitkan anaknya dengan insiden tragik membabitkan kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, baru-baru ini.
Menurut beliau, ketika Allahyarhamah dirawat di hospital, beliau hadir menziarahi ibu pelajar berkenaan bersama Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan rombongan.
“Semasa beliau dirawat di hospital, saya bersama Ketua Pengarah KPM hadir menziarah dan bertemu dengan ibunya. Selepas empat hari Allahyarhamah meninggal dunia, saya turut menziarahi keluarga di Sipitang bersama rombongan Yayasan Sabah dan wakil rakyat Sindumin untuk menyampaikan salam daripada Ketua Menteri,” katanya.
Mengulas dakwaan kononnya anaknya terlibat, Arifin menegaskan bahawa tuduhan tersebut tidak benar.
“Saya ada membaca di media mengenai dakwaan bahawa seorang bernama Farisha adalah anak saya. Hakikatnya, saya tidak mempunyai anak bernama demikian dan tiada anak saya yang bersekolah di sekolah menengah berkenaan,” tegasnya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Roadshow Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) bersama mahasiswa Sabah di sini, hari ini.
Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama Sabah turut mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat, selain berharap keluarga tabah menghadapi ujian tersebut.
“Kita tunggu hasil siasatan polis. Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam kes ini dan kita mahu siasatan dijalankan secara terbuka demi keadilan kepada arwah,” katanya.
— TAMAT

























Add Comment