Home » Kerajaan Sabah prihatin, sentiasa pantau siasatan kes Zara Qairina – Nizam
Berita GRS Politik

Kerajaan Sabah prihatin, sentiasa pantau siasatan kes Zara Qairina – Nizam

ALBUM: Nizam bergambar bersama guru-guru dan ibu bapa pelajar dalam majlis berkenaan.

TAWAU:Kerajaan Negeri Sabah menegaskan pihaknya sentiasa mengikuti rapat perkembangan siasatan kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, dan menolak dakwaan kononnya kerajaan negeri tidak prihatin sebagai tuduhan tidak berasas.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata sejak awal insiden, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, menerima taklimat dan laporan berkala daripada pihak berkuasa yang menjalankan siasatan.

“Tidak benar sama sekali dakwaan bahawa kerajaan negeri tidak ambil peduli. Sejak hari pertama kes ini berlaku, Ketua Menteri telah diberi laporan secara berterusan mengenai perkembangan siasatan. Malah, antara pemimpin terawal yang menziarahi keluarga Allahyarhamah ialah Menteri yang bertanggungjawab terhadap pendidikan negeri, Datuk Arifin Arif,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Tingkatan Enam di sini, hari ini. Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas menyifatkan tuduhan tersebut sebagai ‘nakal’ dan bermotif politik.

Cadang Penempatan Polis di Sekolah Berasrama

Dalam pada itu, Nizam mencadangkan agar anggota polis ditempatkan secara tetap di sekolah berasrama bagi membantu warden memantau keselamatan pelajar.

“Kehadiran anggota polis berseragam boleh menjadi faktor pencegahan. Pembuli akan berasa takut untuk bertindak jika ada pengawasan sedemikian,” katanya.

Beliau menegaskan, kejadian buli perlu dibanteras sepenuhnya kerana sekolah seharusnya menjadi tempat melahirkan generasi berjaya, bukan lokasi berlakunya perbuatan tidak bermoral.

Sokongan Pemasangan CCTV di Semua Sekolah

Walaupun sekolah berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Nizam menegaskan kerajaan negeri menyokong penuh langkah keselamatan, termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di semua sekolah berasrama.

“Keselamatan guru juga perlu diberi perhatian. Pendidikan bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi juga persekitaran sekolah yang selamat dan kondusif,” tegasnya.

Komitmen Kerajaan Negeri

Menurutnya, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor kekal komited memastikan setiap pelajar di Sabah mendapat bantuan pendidikan sewajarnya serta memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan demi masa depan mereka.

— TAMAT