Home » Atlet Sabah terima RM2.19 juta insentif kemenangan dari kerajaan negeri
Berita GRS Politik

Atlet Sabah terima RM2.19 juta insentif kemenangan dari kerajaan negeri

INSENTIF: Ellron (empat kiri) menyampaikan insentif kemenangan kepada Eddy (empat kanan) pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri hari ini menyampaikan insentif berjumlah RM2.19 juta kepada atlet Sabah yang berjaya dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI dan Para SUKMA XXI di Sarawak baru-baru ini.

Turut mendapat ganjaran, pelari negara Eddy Bernard yang mendapat pingat gangsa dalam acara 100 meter di Sukan Paralimpik Paris 2024, sebanyak RM50,000.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, bagi pihak kerajaan negeri, ucapan tahniah dan syabas disampaikan kepada atlet yang mewakili negeri Sabah di kedua-dua temasya sukan berprestij itu.

Katanya, tidak dilupakan kesemua jurulatih dan pengurus-pengurus pasukan yang mengorbankan masa dan tenaga demi menjaga kebajikan atlet masing-masing selama hampir dua tahun sebelum menghadapi SUKMA dan Para SUKMA lalu. 

“Atas keprihatinan ini, insentif sebanyak RM245,000 diberikan kepada jurulatih-jurulatih dan pengurus-pengurus pasukan SUKMA dan sebanyak RM250,500 diberikan kepada jurulatih-jurulatih dan pengurus-pengurus pasukan Para SUKMA.

“Saya juga mengucapkan tahniah kepada atlet renang yang berasal dari daerah Sandakan iaitu Shahafiq Abdullah kerana dipilih sebagai pemenang anugerah Atlet Lelaki Terbaik Para SUKMA Edisi Ke-21 2024 selepas membawa pulang empat pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa. 

“Lebih membanggakan lagi, keempat-empat pingat emas yang dimenangi beliau itu adalah catatan rekod baharu kebangssan. Dengan kejayaan itu, Shahafiq akan menerima insentif tambahan untuk anugerah ini iaitu sebanyak RM10,000,” katanya sempena majlis penyampaian insentif berkenaan di sini. Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Alfred Angin.

Dalam pada itu, Hajiji berharap semua perancangan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah akan berjalan dengan lancar khususnya dalam pembangunan sukan dan belia di negeri ini.

“Pada bulan September lalu, saya mengadakan lawatan rasmi ke Pejabat Kementerian Belia dan Sukan Sabah di Wisma MUIS dan menerima taklimat berkaitan usaha kementerian ini untuk terus memajukan aspek sukan dan belia di Sabah.

“Saya memberi jaminan kerajaan negeri akan terus memperuntukkan perbelanjaan besar dan konsisten bagi memastikan lebih banyak aktiviti sukan dan belia dapat dijalankan.

“Kita juga akan terus menyediakan prasarana dan teknologi yang moden dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan atlet dan belia untuk berlatih atau bekerja dengan lebih efisien,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak berkaitan dalam pembangunan sukan termasuk jurulatih, pengurus dan atlet agar sentiasa manfaatkan segala kemudahan yang disediakan untuk meningkatkan pencapaian dalam bidang sukan masing-masing. 

Menurutnya, ia termasuk untuk memastikan kejayaan lebih gemilang, bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah di arena antarabangsa.

“Setiap kejayaan yang diperoleh bukanlah penamat perjuangan kita. Sebaliknya, ia adalah titik permulaan bagi kita mencapai lebih banyak kejayaan di masa hadapan.

“Ingin saya tegaskan juga, sukan bukan sekadar mengenai pingat dan kemenangan semata-mata, sebaliknya ia melahirkan sifat ketekunan, kerjasama dan integriti. 

“Nilai inilah yang sepatutnya tersemat dalam diri atlet. Saya berharap semua pihak akan terus memartabatkan sukan di negeri ini, sekali gus mengharumkan nama negeri dan negara di persada antarabangsa,” katanya.

— TAMAT