Home » Badan Berkanun, GLC Negeri perlu sokong aspirasi kerajaan negeri
Berita GRS Politik

Badan Berkanun, GLC Negeri perlu sokong aspirasi kerajaan negeri

DIVIDEN: Hajiji menerima pembayaran dividen daripada Sabah Energy Corporation Sdn.Bhd pada Majlis Penutupan Kursus Ahli Lembaga Pengarah Badan-Badan Berkanun Negeri dan Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) Sesi 2, Tahun 2024 serta Penyampaian Dividen dan Sumbangan Oleh Agensi Awam Kepada Kerajaan Negeri di Grand Ballroom, Magellan Sutera, Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu pada Selasa.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mahu Badan-Badan Berkanun Negeri dan Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) menyokong aspirasi kerajaan untuk pembangunan ekonomi negeri secara holistik dan memastikan dapat menyumbang kepada hasil kerajaan negeri.

Sesuai dengan objektif mewujudkan Badan Berkanun dan GLC negeri, beliau mahu mereka memberikan sokongan dan kerjasama dalam melaksanakan aktiviti pembangunan sosioekonomi bagi membantu mencapai objektif untuk mensejahterakan rakyat negeri ini.

“Seiring dengan usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri ini, saya mahu Badan Berkanun dan GLC Negeri mencetus kreativiti dan daya cipta dalam meneroka peluang-peluang perniagaan, sama ada menceburi perniagaan baharu atau mewujudkan jalinan kerjasama sesama agensi kerajaan negeri lain yang berkaitan, selagi ia tidak bercanggah dengan objektif penubuhan.

“Oleh itu, setiap agensi perlu bijak dan berhemah dalam perbelanjaan dan mengutamakan pulangan yang perlu dicapai agar dapat memelihara kebajikan syarikat, mengekalkan prestasi dan menyumbang kepada sosioekonomi negeri”, katanya pada Majlis Perasmian Penutupan Kursus Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Badan Berkanun Negeri dan Syarikat Kerajaan Negeri Sesi 2, Tahun 2024 serta Penyampaian Dividen dan Sumbangan Agensi Awam Kepada Kerajaan Negeri di Grand Ballroom, Magellan Sutera, Sutera Harbour Resort pada Selasa.

Beliau mengingatkan semua Badan Berkanun dan GLC Negeri bahawa pelantikan ALP, kenaikan elaun, kemudahan-kemudahan, dan permohonan pemberian (grant) perlu mematuhi peraturan yang berkuatkuasa dan tidak membuat keputusan sewenang-wenangnya tanpa merujuk kepada peraturan yang ditetapkan sama ada melalui Akta Syarikat, enakmen atau pekeliling kewangan semasa.

Menurutnya, aspek penting yang perlu sentiasa diamalkan adalah pematuhan kepada undang-undang dan peraturan semasa yang berkuatkuasa.

“Saya yakin dan percaya melalui penerapan prinsip tadbir urus baik, akan membantu ALP menjalankan peranan dan tanggungjawab dengan lebih berkesan ke arah memandu organisasi melaksanakan mandatnya dan mencapai sasaran ditetapkan, supaya pelaburan kerajaan mendapat pulangan sewajarnya”, katanya.

Hajiji menegaskan bahawa jawatan ALP bukanlah satu keistimewaan, tetapi satu amanah untuk menahkoda sesebuah agensi ke arah pencapaian hala tuju.

Oleh itu katanya, selain memberikan nilai tambah kepada organisasi dan menjaga kepentingan serta harapan stakeholder, ALP perlu mengutamakan peraturan, tadbir urus korporat dan menjunjung tinggi integriti.

Beliau menggesa semua ALP dan pengurusan GLC supaya melipatgandakan usaha, beramanah, berintegriti dan melaksanakan tadbir urus baik dalam syarikat.

Hajiji berkata, kerjasama dan kesefahaman di antara ALP Pengurusan Tertinggi sangat penting dalam merancang strategi terbaik sebagai sebuah agensi, selain mempunyai etika dan moral yang baik akan membawa syarikat bertindak secara beretika dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan berkeupayaan mengukuhkan langkah kerajaan.

Katanya, kursus anjuran Kementerian Kewangan Negeri itu bersesuaian dengan keperluan ALP yang baharu dilantik dan yang sedia ada, untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam mentadbir dan mengurus agensi masing-masing.

“Saya yakin melalui kursus ini ALP akan dapat meningkatkan gaya kepimpinan ke arah kecemerlangan dan Pengurusan Tertinggi dapat mengukuhkan komposisi pengurusan yang lebih baik sekali gus mencetuskan ketepatan dan ketelusan dalam memacu hala tuju sesebuah agensi”, katanya.

Beliau juga mahu semua badan berkanun dan GLC kerajaan terus meningkatkan prestasi dan hasil mereka supaya dapat menyumbang pendapatan kepada kerajaan negeri.

— TAMAT