Home ยป Banyak manfaat kepada rakyat, wanita: Amisah
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Politik

Banyak manfaat kepada rakyat, wanita: Amisah

BINCANG: Amisah sedang berbual dengan James dan Flovia sempena persidangan DUN pada Khamis.

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin menghadiri Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 yang memasuki hari keempat, hari ini (Khamis).

Sebanyak empat Rang Undang-undang akan dibentang pada hari terakhir sidang DUN iaitu Rang Undang-undang Fatwa (Pindaan) 2023;Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Pindaan) 2023;Rang Undang-undang Yuran (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-undang Pentadbiran Luar Bandar (Pindaan) 2023 serta Rang Undang-undang Perbekalan (2024) 2023 untuk bacaan kedua dan ketiga.


Amisah yang menghadiri sidang DUN sejak Isnin (27 November) merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) PH-Plus kerana prihatin dan memberikan Bantuan Khas kewangan sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam negeri Sabah termasuk penjawat awam sementara, kontrak dan pekerja sambilan harian.

 
Beliau berharap insentif itu dapat memberi suntikan dan semangat kepada para penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan lebih cemerlang sekaligus menjayakan segala agenda dan perancangan kerajaan demi kepentingan rakyat.


Amisah turut menyambut baik usaha-usaha yang telah dilakukan terutama membabitkan wanita lebih-lebih lagi dalam pelbagai aspek termasuk kesaksamaan gender dan membangun potensi wanita.

“Ini dapat dilihat apabila kerajaan GRS memastikan golongan wanita mendapat peluang dan faedah, antaranya sebanyak RM6.27 juta diperuntukan kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dan RM11 juta turut disediakan melalui Yayasan Usaha Maju (YUM) untuk membantu suri rumah, ibu tunggal, peniaga kecil-kecilan, petani, penternak, nelayan dan usahawan kecil yang memerlukan modal pinjaman, ” katanya.

— Kenneddy Corlleus