KOTA KINABALU: Peruntukan pembangunan untuk Sabah dari kerajaan Persekutuan yang berjumlah RM6.5 bilion yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas, diyakini mampu memberi manfaat besar kepada rakyat Sabah.


Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin (gambar) optimis agihan peruntukan pembangunan yang naik tiga peratus berbanding Belanjawan 2023 yang dibentangkan kerajaan sebelum ini pada Oktober lalu, berupaya menjayakan sebahagian Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).


Justeru beliau berharap agihan peruntukan pembangunan untuk Sabah dalam Belanjawan 2023 dapat memacu pembangunan Sabah ke arah yang lebih baik sekaligus merapatkan lagi jurang pembangunan diantara Semenanjung.


Selain RM6.5 bilion, sebanyak RM2.5 bilion lagi diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak untuk melaksanakan projek kemudahan awam, yang sudah tentu kata Mohd Shahril akan memberi manfaat kepada rakyat di kedua-dua wilayah tersebut.


Peruntukan itu amat bermakna kerana katanya, masih banyak kawasan-kawasan khususnya di Sabah yang belum mempunyai akses perhubungan jalan raya yang baik, kemudahan lampu jalan serta tidak mempunyai sambungan bekalan elektrik serta air terutama sekali kawasan terpencil dan di pedalaman.


Disamping itu, Mohd Shahril turut menyambut baik komitmen Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar yang komited untuk mempercepatkan pembinaan lebih 1,000 kilometer (km) projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sabah-Sarawak Road Link dengan peruntukan sebanyak RM20 bilion.


Komitmen kerajaan Persekutuan untuk menyegerakan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah itu diyakini berupaya memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi rakyat di sepanjang jajaran lebuhraya tersebut sekaligus menyumbang kepada pendapatan Sabah.


Peruntukan RM1 bilion kepada Sabah dan Sarawak bagi melaksanakan pembangunan bandar bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia juga mendapat reaksi yang positif, kerana dengan adanya kemudahan kastam, imigresen, keselamatan dan kuarantin (CIQS) kata Mohd Shahril, kemudahan berkenaan sudah tentu akan memberi manfaat dalam jangka masa panjang.


Anwar yang juga Menteri Kewangan pada Jumaat membentangkan Belanjawan 2023 bertemakan ‘Membangun Malaysia MADANI’ di Parlimen yang membabitkan peruntukan RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion bagi belanja pembangunan dan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.


Belanjawan 2023 menumpukan 12 ikhtiar utama berlandaskan tiga tekad iaitu pemacuan ekonomi yang terangkum dan mampan, reformasi institusi dan tatakelola bagi memulih keyakinan dan keadilan sosial untuk menyederhana kesenjangan.


Belanjawan 2023 pada asalnya dibentangkan oleh kerajaan terdahulu pada Oktober tahun lalu namun tidak sempat diluluskan selepas Parlimen dibubarkan.

— Kenneddy Corlleus

Previous articlePerkhidmatan awam perlu gigih bantu kerajaan majukan negeri, sejahterakan rakyat – Hajiji
Next articleKetua Menteri terima kunjungan hormat Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here