Home » Belia wanita diajak menderma darah
Berita Gagasan Rakyat Politik

Belia wanita diajak menderma darah

Pengerusi Biro Kesihatan Exco Wanita Gagasan Rakyat, Dr Davina berkata program ini bertujuan untuk merekrut penderma darah baharu, terutamanya dari kalangan belia wanita ahli Gagasan Rakyat, yang akan memimpin sebagai contoh teladan dalam komuniti.

KOTA KINABALU: Pengerusi Biro Kesihatan Exco Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Dr Davina Markus Majihi menyeru orang ramai terutama golongan belia wanita yang belum pernah menderma darah, untuk ‘tarik lengan baju’ dengan membuat perubahan.

 
Katanya bekalan darah di bank darah Sabah yang sentiasa berada pada tahap paling rendah.


Davina menekankan keperluan mendesak bagi penderma baru untuk tampil pada kempen derma darah dan kesihatan ‘Lead With Life’ yang akan diadakan pada 9 hingga 10 November 2024 di Tingkat 4, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).


“Inilah peluang bagi belia wanita dan semua penderma baharu untuk menjadi sebahagian daripada sesuatu yang lebih besar daripada diri mereka sendiri.


“Hanya 30 minit masa anda sudah dapat memberikan makna yang besar kepada seseorang yang memerlukan, sama ada mangsa kemalangan, pesakit Thalassemia, pesakit kanser, atau mereka yang menjalani pembedahan yang memerlukan darah untuk menyelamatkan nyawa, ” katanya.


Melalui program ‘Lead With Life’, kempen derma darah ini dapat mewujudkan ruang yang selesa khususnya untuk penderma baru.

 
“Kempen ini akan menawarkan panduan tentang proses derma darah, pemeriksaan pergigian dan kesihatan percuma, serta sudut kawasan penghargaan eksklusif untuk penderma di mana mereka boleh menikmati hidangan ringan, menerima sijil, dan merakam foto kenangan, ” katanya.


Bank darah Sabah kini menghadapi kekurangan bekalan yang kritikal, dan Davina menegaskan perlunya sokongan penuh daripada masyarakat.

 
“Setiap titisan darah dapat memberikan impak seumur hidup. Saya mengajak belia Sabah, terutamanya para wanita, untuk bersama-sama dalam usaha menyelamatkan nyawa ini,” katanya.


Bagi mengelakkan daripada masa menunggu yang lama, sesiapa yang berminat untuk menderma darah boleh membuat temu janji menerusi Whatsapp ke talian 011-26361928.

— TAMAT