Home » Benta Wawasan komited lonjak prestasi GLC Sabah
Berita Gagasan Rakyat Politik

Benta Wawasan komited lonjak prestasi GLC Sabah

TAWAU: Benta Wawasan Sdn Bhd terus komited meningkatkan prestasi syarikat selaras dengan aspirasi Ketua Menteri Sabah

TAWAU: Benta Wawasan Sdn Bhd terus komited meningkatkan prestasi syarikat selaras dengan aspirasi Ketua Menteri Sabah agar semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memperkukuh pencapaian masing-masing demi menyumbang lebih besar kepada ekonomi negeri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abd. Karim Abd. Wahid berkata, sebagai anak syarikat Yayasan Sabah, Benta Wawasan memberi keutamaan kepada tadbir urus yang baik, peningkatan produktiviti serta kecekapan operasi bagi memastikan kelangsungan dan daya saing syarikat.

Menurutnya, dalam sektor perladangan, turun naik harga komoditi banyak dipengaruhi faktor pasaran global yang berada di luar kawalan syarikat, justeru pengukuhan prestasi dalaman menjadi fokus utama pengurusan.

“Perkara yang boleh kita kawal ialah kecekapan operasi, produktiviti dan tadbir urus. Sebagai GLC, kita mesti berdaya maju, berdaya saing dan mampu menjana keuntungan secara mampan serta konsisten,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Korporat Benta Wawasan Sdn Bhd di sini, semalam.

Abd. Karim memaklumkan, Benta Wawasan mencatat pungutan kasar melebihi RM100 juta tahun lalu, sekali gus membolehkan penyaluran dividen yang signifikan kepada Yayasan Sabah.

Katanya, sumbangan dividen itu membantu Yayasan Sabah melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan, sosial dan pendidikan di negeri ini.

“Alhamdulillah, sepanjang 30 tahun penubuhan Benta Wawasan, syarikat konsisten menyumbang pulangan dividen yang baik kepada Yayasan Sabah. Kami berharap prestasi tahun ini akan terus meningkat seiring pemulihan ekonomi dan trend harga komoditi yang lebih positif,” katanya.

Beliau turut mengulas kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, yang menggesa semua GLC Sabah memperkukuh prestasi dan meningkatkan sumbangan kepada pembangunan ekonomi negeri.

Majlis berbuka puasa berkenaan turut diserikan dengan sambutan ulang tahun ke-30 penubuhan Benta Wawasan, yang mencerminkan perjalanan syarikat sebagai entiti korporat yang mampan dan berdaya tahan.

Dalam majlis sama, Benta Wawasan menyampaikan sumbangan kebajikan kepada golongan asnaf, ibu tunggal, anak yatim serta tujuh pusat tahfiz di sekitar Tawau.

Menurut Abd. Karim, program kebajikan itu merupakan tradisi tahunan syarikat sebagai sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang Ramadan.

“Kami bukan sahaja menumpukan kepada prestasi kewangan, tetapi turut memastikan aspek kebajikan masyarakat terus diberi perhatian,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Benta Wawasan turut menerima The BrandLaureate Awards 2025/2026 baru-baru ini. Abd. Karim menyifatkan pengiktirafan bertaraf antarabangsa itu sebagai bukti komitmen syarikat dalam memperkukuh penjenamaan serta reputasi korporat. “Pengiktirafan ini menjadi pemangkin untuk kami terus mempertingkat prestasi dan mengekalkan kecemerlangan pada masa akan datang,” katanya.

–TAMAT