PAITAN: Kerajaan negeri mengambil tindakan segera bagi memastikan penduduk di kawasan terjejas banjir di Paitan terus mendapat akses komunikasi, kemudahan pengangkutan air serta bantuan barangan keperluan asas.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, berkata banjir kali ini disifatkan antara yang terburuk pernah melanda kawasan Sugut, membabitkan sebanyak 87 kampung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut itu berkata, setakat ini 22 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan 250 Ketua Isi Rumah (KIR) dengan jumlah keseluruhan kira-kira 700 mangsa yang terjejas.
“Sebahagian besar kampung terputus hubungan sama ada melalui jalan darat mahupun rangkaian komunikasi. Keadaan ini menyukarkan urusan pemindahan dan penyelarasan bantuan kepada mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan pihaknya telah mengarahkan Sabah Net Sdn Bhd untuk menyelaras serta mempercepatkan pemasangan kemudahan internet satelit Starlink di kampung-kampung yang terputus liputan komunikasi.
Langkah itu bertujuan memastikan penduduk dapat berhubung dengan pihak berkuasa dan ahli keluarga, selain memudahkan koordinasi bantuan di lapangan.
Dalam masa sama, katanya, kerajaan negeri turut membekalkan perahu dan enjin sangkut bagi kegunaan operasi pemindahan mangsa ke PPS serta mempercepatkan usaha menyelamat di kawasan yang dinaiki air.
Menurut James, penyediaan kemudahan komunikasi dan aset logistik merupakan komponen penting dalam memastikan keselamatan penduduk terjamin serta kelancaran operasi bantuan.
“Kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan semasa dan memastikan semua mangsa yang terjejas menerima bantuan sewajarnya sehingga keadaan kembali pulih sepenuhnya,” katanya.
— TAMAT

























Add Comment