Home » Bincang pelbagai agenda, pembangunan Sabah dan Kedah
Berita GRS Politik

Bincang pelbagai agenda, pembangunan Sabah dan Kedah

LAWAT: Jahid Bersama Samad dan Ruddy menyaksikan Siti Ashah menandatangani buku pelawat KPLB Sabah, sebelum masuk ke ruang mesyuarat.

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim menerima kunjungan hormat daripada Exco Pembangunan Luar Bandar Negeri Kedah, Datuk Siti Ashah Ghazali bersama rombongan dari Kedah, di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di sini pada Sabtu.

Pertemuan mesra ini antara lainnya adalah bagi membincangkan pelbagai agenda termasuk melibatkan pembangunan negeri masing-masing. 

Menurut Jahid, pertemuan sedemikian adalah langkah penting dalam memperkukuhkan hubungan antara kementerian kedua-dua negeri dan membuka ruang untuk saling bekerjasama. 

Selain itu katanya, ia turut memberi peluang untuk bertukar-tukar maklumat mengenai dasar, inisiatif dan cabaran yang dihadapi oleh KPLB di negeri masing-masing. 

“Pertukaran ini membolehkan kedua-dua pihak memahami konteks tempatan, mengenal pasti peluang kerjasama dan berkongsi amalan terbaik dalam usaha membangunkan kawasan luar bandar,” katanya.

Siti Ashah yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan dan Pembangunan Insan Negeri Kedah bersama rombongan dari Kedah mengucapkan terima kasih kepada Jahid, Pembantu Menteri dan kakitangan KPLB Sabah kerana sudi menerima kehadiran mereka, di samping layanan baik sepanjang lawatan berkenaan.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor Mardhiyyah Johari dan Pegawai Khas Wanita Kepada Menteri Besar Kedah Norhafiza Fadzil.

Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Samad Jambri dan Datuk Seri Dr. Ruddy Awah serta kakitangan KPLB diketuai Setiausaha Tetap II, Norsafi Dukah. – Utusan Borneo