Home » Manfaatkan penggunaan UAV dalam operasi: Arifin
Berita Gagasan Rakyat Politik

Manfaatkan penggunaan UAV dalam operasi: Arifin

ALBUM: Para tetamu kehormat merakamkan gambar kenangan ketika di majlis itu.

TAWAU: Usahawan sektor berkaitan pertanian, perindustrian, pelancongan dan perkhidmatan di Sabah digalakkan mengintegrasikan penggunaan teknologi ‘Unmanned Aerial Vehicle’ (UAV) dalam operasi harian. 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Arif berkata, teknologi dron mampu untuk menyelesaikan beberapa isu dengan segera dan ia mempunyai pelbagai manfaat.

Katanya, di negara-negara maju, dron telah mula digunakan untuk menghantar barangan dengan keupayaan terbang sejauh kira-kira 10 kilometer dalam tempoh enam minit dengan kemampuan membawa beban sehingga 1.1 kilogram. 

“Oleh itu, saya percaya integrasi teknologi dron ini akan memastikan kita di Sabah mampu untuk berkembang seiring dengan kemodenan teknologi semasa.

“Ini kerana kita mengakui bahawa integrasi teknologi ini ke dalam ekonomi Sabah akan mempunyai pulangan yang besar untuk kemajuan dan kemakmuran negeri kita. 

“Bagaimanapun, dalam memastikan usaha ini berjaya, ia memerlukan usaha dan kerjasama daripada semua pihak berkepentingan, kerajaan, pemain industri, penyelidik dan daripada masyarakat sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampian Hadiah Program Sabah Maju Jaya (SMJ) Dron Tawau pada Sabtu di sini.

Arifin berkata, pihaknya turut memuji usaha Ahli Parlimen Tawau Datuk Lo Su Fui dalam mendedahkan lebih awal kepada anak-anak pelajar khususnya di peringkat sekolah rendah berkaitan teknologi dron.

“Selaku menteri bertanggungjawab, saya menyokong sepenuhnya usaha seperti ini dan mengharapkan agar usaha ini bukanlah kali pertama dan bukan juga kali yang terakhir,” katanya. -Utusan Borneo