Home » BUDI dan TPNS perkukuh peluang pendidikan anak Sabah
Berita GRS Politik

BUDI dan TPNS perkukuh peluang pendidikan anak Sabah

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, bersama penerima bantuan pendidikan ADUN Membakut sempena Program Jejak Menara Gading Ke-17 DUN Membakut, Siri Dua di Dewan Seri Wawasan Kampung Pimping.

MEMBAKUT: Dianggarkan seramai 5,000 pelajar Sabah bakal menerima Biasiswa Kerajaan Negeri pada tahun ini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Menurut Arifin, selain biasiswa, kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai inisiatif lain untuk memastikan anak-anak Sabah mendapat peluang pendidikan terbaik. Antara bantuan yang ditawarkan termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI) kepada 10,000 pelajar, serta bantuan melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS).

“Untuk tahun ini, kita sediakan biasiswa kepada 5,000 anak Sabah, manakala bantuan BUDI pula akan diberikan kepada 10,000 pelajar. Bagi yang menghadapi kekangan lain, mereka boleh memohon bantuan tambahan melalui TPNS dan pelbagai skim lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Jejak Menara Gading Ke-17 DUN Membakut, Siri Dua, yang berlangsung di Dewan Seri Wawasan Kampung Pimping, di sini, pada Isnin.

Arifin turut menasihatkan pelajar yang tidak mendapat biasiswa agar tidak bimbang kerana mereka boleh memohon bantuan daripada Yayasan Sabah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), atau tabung-tabung pendidikan lain.

Bagi program Jejak Menara Gading kali ini, lebih 100 pelajar Membakut menerima bantuan ADUN Membakut. Keseluruhannya, lebih 200 pelajar telah mendapat manfaat daripada siri pertama dan kedua program tahun ini, termasuk pelbagai bantuan pendidikan yang disediakan kerajaan negeri.

Di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Arifin berkata kerajaan negeri terus memperkukuh pelbagai inisiatif pendidikan bagi memastikan anak Sabah memperoleh peluang pengajian ke peringkat lebih tinggi.

— TAMAT