Home » Komuniti Cina yakin kepimpinan Hajiji pacu ekonomi Sabah
Berita GRS Politik

Komuniti Cina yakin kepimpinan Hajiji pacu ekonomi Sabah

Presiden MCCC Sabah, Datuk Dexter Lau, menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam Persahabatan bersama Komuniti Cina, Pendidikan dan Badan Agama Bukan Islam di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Komuniti perniagaan Cina menyatakan keyakinan penuh terhadap pentadbiran kerajaan negeri Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yang disifatkan berjaya mencatat pencapaian ekonomi membanggakan dalam tempoh singkat.

Presiden Dewan Perniagaan Malaysia–China (MCCC) Sabah, Datuk Dexter Lau, berkata komuniti perniagaan Cina sentiasa komited menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri. Katanya, penubuhan bahagian Wanita dan Belia di bawah pelbagai sayap dewan perniagaan Cina membuka peluang lebih luas untuk melahirkan generasi baharu usahawan dan pemimpin sosial.

“Selagi kerajaan negeri terus menyediakan peluang, komuniti perniagaan Cina akan memikul tanggungjawab untuk melahirkan lebih ramai pemimpin perniagaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persahabatan bersama Komuniti Cina, Pendidikan dan Badan Agama Bukan Islam, di sini baru-baru ini.

Mengulas prestasi ekonomi negeri, Dexter berkata pentadbiran Hajiji menunjukkan hasil jelas dengan peningkatan pendapatan negeri daripada RM4.2 bilion pada 2019 kepada RM7 bilion menjelang 2023 ,hampir dua kali ganda dalam tempoh empat tahun.

Selain itu, beliau mendedahkan Sabah mencatat kelulusan pelaburan berjumlah RM10.9 bilion hanya dalam suku pertama tahun ini, sekali gus meletakkan negeri itu sebagai ketiga tertinggi di Malaysia selepas Selangor dan Kuala Lumpur.

“Ini adalah pencapaian yang wajar dipuji dan menjadi bukti keupayaan kerajaan negeri dalam menarik keyakinan pelabur,” tegasnya.

Dexter menambah, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan komuniti perniagaan adalah kunci untuk terus memacu pembangunan ekonomi Sabah ke tahap lebih tinggi.

— TAMAT