Home » CCA Beri Sabah ‘Durian Runtuh’: Kontraktor Minyak & Gas Raih RM2 Bilion Projek
Berita GRS Politik

CCA Beri Sabah ‘Durian Runtuh’: Kontraktor Minyak & Gas Raih RM2 Bilion Projek

“Kerajaan Sabah memeterai Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas pada 7 Disember 2021,satu perjanjian bersejarah yang memberi Sabah suara, penyertaan dan perkongsian hasil lebih besar dalam sektor minyak dan gas.”

KOTA KINABALU: Kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Sabah dan Petronas di bawah Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) terus membuahkan hasil apabila kontraktor minyak dan gas tempatan berjaya memperoleh projek bernilai RM2 bilion pada tahun lalu, tiga kali ganda lebih tinggi berbanding sebelum CCA dimeterai pada 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif SMJ Energy Sdn Bhd, Dionysia Kibat, berkata peningkatan tersebut adalah hasil pelaksanaan CCA yang memberikan Sabah “suara, penyertaan dan perkongsian hasil lebih besar” dalam keseluruhan rantaian nilai industri minyak dan gas.

Menurutnya, sebelum CCA dimuktamadkan, kontraktor Sabah sering dipinggirkan dalam projek utama kerana kurang pendedahan dan keupayaan teknikal, menyebabkan mereka hanya diberi kerja berskala kecil seperti katering atau logistik.

“Selepas CCA, dasar lebih tersusun dan latihan kemahiran diperkenalkan. Ini membolehkan kontraktor Sabah bersaing secara adil dalam projek berkemahiran tinggi. Tahun lalu sahaja, nilai projek yang diperoleh mencecah RM2 bilion,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama FMT.

Beliau turut mendedahkan bahawa dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, kontrak bernilai RM1.53 bilion telah dianugerahkan kepada syarikat-syarikat Sabah, berbanding hanya RM613 juta sepanjang tahun 2021.

Peranan SMJ Energy dan Kesan Ekonomi:Sebagai entiti yang ditubuhkan khusus untuk melaksanakan CCA, SMJ Energy menerajui usaha memperkukuh penyertaan negeri dalam sektor tenaga melalui Majlis Kandungan Tempatan Sabah. Platform itu memastikan syarikat minyak dan gas memberi ruang kepada vendor tempatan, membina kapasiti tenaga kerja dan mengelakkan amalan ‘Ali Baba’.

“Kejayaan memiliki aset tidak bermakna jika rakyat dan kontraktor tempatan tidak merasai manfaatnya. CCA memastikan Sabah menang, rakyat menang, dan industri berkembang sama-sama,” jelas Dionysia.

Beliau turut menjelaskan bahawa kerjasama ini mencetuskan ‘kesan berganda’ (multiplier effect) terhadap ekonomi negeri. Selain peningkatan pekerjaan, pelaburan besar seperti Esteel Sabah (RM31 bilion) dan Kibing Solar (lebih RM10 bilion) turut memacu pertumbuhan taman perindustrian, logistik, komunikasi dan perkhidmatan sokongan lain.

SMJ Energy kini bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi membangunkan Pelan Induk Gas Sabah, merancang keperluan gas untuk pelabur baharu serta meneroka sumber tenaga alternatif seperti geoterma.

Antara projek utama yang disokong termasuk: Loji besi briket panas (Hot Briquetted Iron) E-Steel Enterprise bernilai RM20 bilion dan Fasa kedua kilang kaca solar SBH Kibing New Solar Energy bernilai RM7.2 bilion “Ini bukan hanya mengenai minyak dan gas, tetapi membina ekosistem industri bernilai tinggi dan pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Sabah,” katanya.


Perjanjian CCA yang dimeterai pada 2021 menjadi salah satu pencapaian utama pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bukan hanya dari segi pengurusan hasil negeri, tetapi juga sebagai langkah praktikal mengembalikan hak Sabah sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

— TAMAT