Home » Kerjasama dengan Putrajaya tidak bererti Sabah tunduk : Rubin
Berita GRS Politik

Kerjasama dengan Putrajaya tidak bererti Sabah tunduk : Rubin

Rubin (tengah) berkata hubungan baik antara GRS dengan Kerajaan Persekutuan tidak bermakna Sabah akan mengikut telunjuk Putrajaya - Foto Facebook Media Wakil Rakyat Kemabong

KOTA KINABALU: Hubungan baik antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan tidak bermakna Sabah tunduk atau mengikut telunjuk Putrajaya, tegas Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Rubin Balang.

Beliau berkata, persefahaman antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Kerajaan Persekutuan adalah berasaskan kepentingan rakyat, bukan tunduk kepada mana-mana pihak di Kuala Lumpur.

“Mereka mendakwa Ketua Menteri dan GRS dikawal Kuala Lumpur atau Perdana Menteri. Sebenarnya tidak. Hasrat Ketua Menteri ialah memastikan hubungan baik Sabah–Persekutuan dapat diteruskan demi kestabilan dan pembangunan negeri. Hubungan baik bukan bermakna ikut telunjuk,” katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Rubin yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat DUN Kemabong berkata, jentera GRS kini berada dalam keadaan bersiapsiaga sepenuhnya dan semangat di peringkat akar umbi berada pada tahap tinggi.

Namun beliau mengakui wujud cubaan pihak tertentu menghasut rakyat dengan menolak kerjasama Sabah–Persekutuan.

“Itu satu bentuk hasutan yang tidak sihat. Ada yang terpengaruh, tetapi majoriti rakyat faham bahawa GRS berjuang demi Sabah dan rakyatnya,” katanya.

Dalam pada itu, Rubin memaklumkan beliau bersedia mempertahankan kerusi DUN Kemabong pada PRN17 sekiranya diberikan kepercayaan oleh pimpinan GRS.

“Penyokong di peringkat akar umbi mahu saya bertanding semula. Jika diberi mandat, saya akan terus memperjuangkan isu asas di kawasan seperti bekalan air, jalan raya, sekolah, kemudahan pendidikan dan ekonomi penduduk luar bandar,” jelasnya.

Rubin sebelum ini menang kerusi Kemabong sebagai calon Bebas pada PRN16 dengan majoriti 1,012 undi.

— TAMAT