Home » Dakwaan GRS terpaksa bekerjasama dengan PH kerana kes rasuah adalah salah
Berita GRS Politik

Dakwaan GRS terpaksa bekerjasama dengan PH kerana kes rasuah adalah salah

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Norazlinah Haji Arif

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Norazlinah Haji Arif menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis yang mendakwa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) kerana ‘terpaksa’ ekoran skandal rasuah sebagai satu tuduhan liar, tidak berasas dan berniat jahat.

Menurutnya, dakwaan kononnya GRS terpaksa meneruskan kerjasama dengan PH demi menyelamatkan pemimpin mereka yang terpalit dengan kes mahkamah hanyalah usaha terdesak pihak pembangkang untuk meraih perhatian politik dengan menanam persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

“Saya ingin menyanggah keras kenyataan Munirah yang mengaitkan kerjasama GRS dan PH dengan kononnya wujud kes rasuah. Tuduhan seperti ini tidak hanya tidak bertanggungjawab, malah satu penghinaan terhadap kematangan politik pimpinan GRS, khususnya Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau menegaskan, keputusan untuk membentuk kerjasama strategik antara GRS dan PH bukan berlaku secara tergesa-gesa atau kerana tekanan politik, sebaliknya berasaskan semangat setiakawan, kepercayaan dan kesedaran akan keperluan untuk mewujudkan kestabilan politik di Sabah.

“Kita tidak boleh menafikan peranan PH yang berdiri teguh menyokong kerajaan negeri ketika berlakunya cubaan rampasan kuasa dalam insiden ‘Langkah Kinabalu’. 

“Tanpa bantuan dan kepercayaan mereka pada ketika itu, kerajaan GRS mungkin telah tumbang. Ini bukan soal ‘ada kes’ atau ‘terpaksa’, ini soal menghargai jasa dan mengekalkan kestabilan negeri,” katanya.

Mengulas mengenai dua ADUN GRS yang kini sedang menghadapi pertuduhan berkaitan permohonan lesen mineral, Norazlinah mengingatkan semua pihak agar tidak mengambil kesempatan mempolitikkan isu mahkamah kerana proses perundangan masih berjalan dan setiap individu berhak mendapat keadilan mengikut prinsip undang-undang.

“Isu mahkamah tidak wajar dijadikan bahan untuk menabur fitnah dan mencipta persepsi. Semua tertuduh berhak untuk mempertahankan diri dan kita wajar menghormati proses undang-undang. GRS tidak pernah menghalang atau campur tangan dalam urusan kehakiman,” katanya.


Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa kerjasama GRS dan PH akan terus memberi manfaat besar kepada rakyat Sabah dalam menghadapi PRN akan datang, sambil menegaskan bahawa GRS akan kekal memainkan peranan dominan dalam gabungan tersebut demi memperjuangkan agenda ‘Sabah First’.

— TAMAT

About the author

Elle ABT

Add Comment

Click here to post a comment