Home » STAR tak rancang keluar GRS, kata Kitingan
Berita GRS Politik

STAR tak rancang keluar GRS, kata Kitingan

Jeffrey Kitingan menegaskan komitmen STAR terhadap GRS yang turut diasaskan oleh parti itu.

KOTA KINABALU:Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) tidak merancang keluar Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Presiden Jeffrey Kitingan.

Kitingan berkata, klip video TikTok tular yang menunjukkannya mencadangkan perkara itu disalah tafsir dan diambil di luar konteks, lapor The Daily Express.

“Klip itu adalah sebahagian daripada perbualan semasa acara ulang tahun parti kami, di mana saya ditanya apa tindakan STAR jika GRS dipaksa bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Dalam konteks itu, saya jawab, ‘Ya, kita akan keluar dari GRS, tetapi kekal dalam kerajaan’. Namun, video itu hanya menunjukkan ayat tersebut tanpa latar belakang penuh,” katanya.

Kitingan yang juga timbalan ketua menteri Sabah turut menegaskan komitmen STAR terhadap GRS, turut diasaskan oleh parti itu.

Ketua Penerangan GRS Datuk Joniston Bangkuai

Semalam, Ketua Penerangan GRS, Joniston Bangkuai, turut menafikan khabar angin bahawa STAR berhasrat meninggalkan gabungan kerajaan negeri itu.

Beliau berkata, semua pemimpin lapan parti komponen GRS, termasuk Kitingan, mengadakan pertemuan dengan Pengerusi GRS Hajiji Noor pada Isnin lalu dan menyatakan komitmen mereka terhadap gabungan itu.

“Mereka sebulat suara menyatakan bahawa mereka bukan sahaja perlu kekal bersama, malah memperkukuh lagi GRS,” katanya.

Lapan parti komponen GRS termasuk Parti Gagasan Rakyat Sabah pimpinan Hajiji, Parti Bersatu Sabah (PBS), dan STAR.

Gagasan Rakyat Sabah kini mempunyai 26 kerusi dalam DUN, sementara PBS dan STAR masing-masing mempunyai tujuh dan enam kerusi.

Pengarah Komunikasi Parti STAR, Datuk Jalumin Bayogoh.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi STAR, Jalumin Bayogoh, berkata partinya akan membuat laporan polis terhadap artikel sebuah portal berita yang didakwa mengaitkan STAR dengan kes lesen mineral Sabah melibatkan ahli perniagaan Albert Tei.

“Laporan itu tidak benar dan berunsur fitnah. Kami tidak akan berdiam diri terhadap fitnah seperti ini,” katanya.

— FMT