Home » Dana RM1 bilion sudah ada sebelum Warisan ambil alih,jelas Masidi
Berita GRS Politik

Dana RM1 bilion sudah ada sebelum Warisan ambil alih,jelas Masidi

Menteri Kewangan,Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

KOTA KINABALU: Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun menegaskan bahawa dakwaan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kononnya pentadbiran Parti Warisan Sabah (Warisan) berjaya melunaskan hutang RM1 bilion pada 2019 adalah tidak tepat.

Menurut Masidi, dana untuk membayar hutang tersebut sudah tersedia hasil perancangan kerajaan terdahulu sejak 2014, jauh sebelum Warisan mengambil alih pentadbiran negeri pada 2018.

Beliau menjelaskan, hutang yang dimaksudkan merujuk kepada Bon Kerajaan Negeri Sabah (2014/2019) yang diterbitkan pada Disember 2014 semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

“Bank Negara Malaysia ketika itu menetapkan syarat supaya sebuah Tabung Amanah Khas diwujudkan bagi memastikan bayaran balik hutang bon dapat dibuat sepenuhnya apabila tempoh matang. Langkah ini bertujuan mengelakkan pembayaran menjadi beban besar kepada kewangan negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Berdasarkan terma bon tersebut, kerajaan negeri perlu mencarum RM200 juta setiap tahun ke dalam tabung berkenaan selama lima tahun. Menjelang 2019, jumlah yang terkumpul mencecah RM1 bilion, membolehkan bayaran penuh dilakukan secara sekali gus (bullet payment) tanpa menjejaskan kedudukan kewangan negeri.

“Apabila Warisan mengambil alih pentadbiran pada 2018, sebahagian besar dana telah pun ada. Tahun berikutnya, jumlah penuh RM1 bilion tersedia, dan pembayaran hanya melibatkan proses akhir menggunakan dana yang telah dikumpulkan lebih awal. Maka, tidak wajar untuk mendakwa pembayaran itu adalah kejayaan pentadbiran Warisan,” tegas Masidi.

Beliau menambah, perkara itu pernah dijelaskan dalam ucapan penggulungan beliau di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada sesi persidangan Julai tahun lalu.

“Kerajaan komited memastikan rakyat mendapat maklumat tepat mengenai kedudukan kewangan negeri dan tidak akan membiarkan kenyataan mengelirukan disebarkan tanpa penjelasan,” katanya.

— TAMAT