Home » Dekati rakyat di akar umbi: Redonah
Berita Gagasan Rakyat Politik

Dekati rakyat di akar umbi: Redonah

Ramah mesra dengan keluarga yang dilawati di PDM Tagaroh Kota Marudu pada Ahad.


KOTA MARUDU:Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah Datuk Redonah Bahanda menyeru jentera Wanita Gagasan Rakyat atau G10 di peringkat akar umbi sehingga pimpinan peringkat bahagian untuk bekerjasama dalam mendekati masalah rakyat khasnya berkaitan isu kebajikan dan keperluan rakyat.

Katanya kebajikan rakyat dan isu keperluan rakyat meliputi aspek perumahan, bantuan perubatan bagi yang memerlukan dan pemantauan dari segi pendidikan anak-anak.


Redonah bersama Wanita GRS menyantuni penduduk sekitar PDM Tagaroh.

“Saya lihat, isu kebajikan rakyat adalah isu yang ada disemua tempat, tidak kira di negeri mana sekalipun, pasti ada rakyat kita yang mempunyai masalah khasnya dari segi kebajikan mereka, tempat tinggal dan pendidikan anak-anak.

“Lebih menyedihkan lagi apabila ada yang menghidap penyakit kronik atau tergolong dalam orang kelainan upaya (OKU) yang sewajarnya sentiasa menjadi perhatian dan keutamaan bagi pemimpin di kawasan masing-masing kerana sememangnya tugas seorang pemimpin dan ahli parti itu sendiri adalah berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Ziarah Sayang Wanita GRS Dun Bandau di empat buah keluarga dalam PDM Tagaroh Kota Marudu pada Ahad di sini.

Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah turut menegaskan bahawa kebajikan rakyat yang paling perlu dipandang serius adalah isu perumahan dan pendidikan anak-anak.

“Masih banyak rakyat yang berada dalam kategori miskin tegar dan perlu dibantu, masih tidak mendapat kediaman yang selayaknya, misalnya perumahan untuk rakyat termiskin dan bantuan persekolahan untuk anak-anak mereka.

“Kita harus ambil tahu bahawa kepayahan mereka dalam meneruskan kehidupan dan mencari sesuap nasi adalah amat perik dan anak-anak mereka juga berjuang demi mendapatkan pendidikan,” katanya

Turut hadir wakil daripada 4 komponen parti iaitu Kelista Jaitin (Ketua Wanita PCS), Zulaikha (Ketua Penerangan Wanita Star N6 Bandau), Chris (Ketua Penerangan Wanita PBS N6 Bandau) dan ahli jawatan kuasa Wanita USNO yang telah memberikan komitmen penuh dalam menjayakan program ini.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Jaimah Angai (Naib Ketua Wanita PGRS Bandau), Dayang Lansiu (Penolong Setiausaha PGRS Bandau), Jaisey Mosimpun (AJK Wanita PGRS), Launi Malingkat (AJK Wanita PGRS), Rahmah Labit, (AJK Wanita PGRS), OKK Mohamad Mamat (Ketua Daerah Mahkamah Anak Negeri Kota Marudu) dan Balanga Timbuong (Ketua Makhamah Anak Negeri Dun Bandau) serta pemimpin masyatakat dari Kampung Togop, Kampung Wani dan Taginambur Baru di Kota Marudu.

— TAMAT