KOTA KINABALU:Kementerian Perdagangan Dalam Negeri fan Kos Sara Hidup hari ini telah melibatkan persatuan peniaga makanan dan minuman bagi negeri Sabah. Sesi ini bertujuan mendapatkan maklum balas dan pandangan berkaitan cadangan pindaan terhadap peruntukan-peruntukan kepada Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata berbeza dengan PPKB (Pindaan) 2021 yang hanya membenarkan penggunaan silinder LPG bersubsidi tidak melebihi 42 kilogram pada satusatu masa, pindaan yang dilaksanakan akan mengambil kira keperluan para peniaga mikro dan kecil dalam sektor makanan serta minuman.
Beliau berkata peniaga jualan makanan dan minuman yang menawarkan perkhidmatan pada harga yang berwajaran tidak perlu khuatir kerana mereka akan dijamin terus mendapat manfaat subsidi LPG.
Katanya selain memberi pengiktirafan kepada keperluan para peniaga mikro dan kecil dalam sektor makanan serta minuman, cadangan pindaan ini penting untuk mengenal pasti mekanisme kawalan untuk mengekang ketirisan subsidi ini terutama yang melibatkan aspek penyelewengan dan penyeludupan.
Sehubungan itu, KPDN mengalu-alukan pandangan semua pihak termasuk persatuan-persatuan perniagaan makanan dan minuman sendiri untuk mengemukakan syor dan cadangan masing-masing.
Jelas Armizan sesi libat urus akan terus digerakkan ke seluruh negeri dan pindaan disasarkan untuk dilaksanakan sebaik sahaja selesai tempoh OPS GASAK. OPS KESAN 4.0 BERMULA 1 JULAI 2025
Sejajar dengan pelaksanaan semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST), KPDN akan melaksanakan OPS KESAN 4.0 yang akan berkuat kuasa pada tarikh yang sama iaitu bermula 1 Julai 2025.
OPS KESAN 4.0 akan digerakkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 (Akta 723).
Tambah beliau fokus pemantauan dan penguatkuasaan adalah untuk memastikan peniaga di semua peringkat tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan dengan tidak munasabah serta bertentangan dengan perundangan di bawah AKHAP 2011.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar mengenai pindaan peraturan berhubung penggunaan silinder LPG bersubsidi bersama media pada Isnin di SICC
Sementars itu, Skop penguatkuasaan adalah meliputi barangan dan perkhidmatan yang terlibat dalam semakan kadar cukai jualan dan peluasan skop cukai perkhidmatan (SST) yang berkaitan. Ini termasuk pemantauan terhadap barangan yang tidak terlibat dengan semakan kadar SST seperti barangan keperluan asas.
Dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan OPS KESAN 4.0, KPDN telah dan akan terus menggerakkan tiga pendekatan berikut:
1. Melaksanakan proses pengumpulan data harga dan caj perkhidmatan. Ini termasuk mengguna pakai data-data kutipan harga harian oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH) KPDN. Data ini akan dijadikan asas perbandingan harga dan caj perkhidmatan sebelum dan selepas pelaksanaan semakan kadar SST;
2. Memperkukuh kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan dan menggalakkan partisipasi awam sejajar dengan pelaksanaan KITA GEMPUR iaitu Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan;
3. Menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) pengurusan aduan berkaitan dengan caj, harga dan bekalan. Saluran aduan disediakan untuk membolehkan orang ramai mengemukakan sebarang maklumat kepada pihak Kementerian melalui saluran-saluran berikut:
i. Pusat Arahan Penguatkuasaan: 03-8882 6245/6088;
ii. WhatsApp: 012-665 4292;
iii. Portal e-Aduan KPDN: http://eaduan.kpdn.gov.my;
iv. Call Centre: 1-800-886-800; dan
v. Aplikasi Telefon Pintar: Ez ADU KPDN.
KPDN akan mengambil tindakan tegas sekiranya kenaikan harga yang tidak munasabah dilakukan dan tidak sejajar dengan perundangan pencatutan. Peniaga individu yang disabitkan kesalahan melakukan pencatutan boleh didenda sehingga RM100,000.00 atau tiga tahun penjara, atau keduaduanya sekali. Manakala bagi syarikat, denda sehingga RM500,000.00 boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan.
— TAMAT
Add Comment