AHAD lepas, dewan komuniti di Lokawi Height, Papar, bagaikan panggung pesta. Ribuan manusia bersesak membanjirinya, sehingga melimpah ke luar dewan. Tidak terhitung jumlahnya. Mungkin mencecah 10,000 orang.
Jalannya padat, kenderaan bertali arus. Ruang parkir penuh hinggakan sebuah tapak pembinaan berdekatan dijadikan tempat parkir sementara.
Suasananya bermula seawal jam 7 pagi, berlanjutan sehingga lewat petang.
Dewan komuniti itu menjadi tempat persidangan tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Kawang, yang diketuai oleh wakil rakyatnya, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.
Warga yang datang berduyun-duyun adalah pendukung Gagasan Rakyat — sebagai perwakilan, pemerhati dan pengikut setia.
Tiga sayap Pemuda, Wanita dan Beliawanis mengadakan persidangan masing-masing di tiga dewan berasingan pada sebelah pagi, disusuli persidangan bahagian pada sebelah petang.

Ghulam hadir mengakrabi persidangan ketiga-tiga sayap parti itu, manakala kemuncak persidangan bahagian dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali.
Kehadiran ribuan pengikut setia pada acara politik itu menjadi gambaran sokongan luar biasa terhadap kepemimpinan Ghulam yang sudah menjadi wakil rakyat Kawang selama lima penggal sejak tahun 2004.
Beliau disenangi oleh pengikut semua peringkat usia, serasi dengan komuniti majmuk.
Di sebalik penampilan sederhana, suara lembut dan sentiasa merendah diri, Ghulam juga berbakat besar kerana mampu menyanyikan pelbagai genre lagu — menjadikan beliau dikenali bukan saja di kawasannya, tetapi juga di pentas politik Sabah.
Dalam kebanyakan acara yang dihadirinya, beliau sering diminta bernyanyi secara spontan.
Tidak hairan jika beliau disayangi dan dijadikan idola oleh sebahagian besar rakyat di kawasan Kawang.
Sempena persidangan Gagasan Rakyat tahun lepas, beliau berucap sekejap dan kemudian turun pentas dan bernyanyi di celah-celah perwakilan.

Sementara persidangan tahun ini, beliau memulakan amanat dengan dua pantun, kemudian menutup ucapan dengan mendeklamasi puisi berjudul `Demi Kawang, Aku Terus Melangkah’.
Antara bait-bait puisinya:
“Hari ini, dengan kudrat yang masih tersisa
Aku akan terus mengagahkan diri, menggalas sebuah perjuangan abadi
Demi Kawang, aku terus melangkah
Selagi hayat dikandung badan”
Hakikatnya, Ghulam bukan sekadar seorang ahli politik biasa — beliau adalah simbol kesatuan dan perpaduan, kestabilan dan keprihatinan.
Sejak mula dipilih sebagai wakil rakyat, beliau telah membina legasi politik yang kukuh berasaskan prinsip khidmat sejati dan sepenuh hati, integriti dan sentuhan akar-umbi yang konsisten.
Sebagai seorang tokoh politik prolifik, Ghulam mempunyai kelebihan dan sentuhan luar biasa kerana mampu membaca denyut nadi masyarakatnya.
Keakraban dengan masyarakat pelbagai kaum di Kawang menjadikan beliau bukan sahaja dihormati, malah disayangi sebagai pemimpin yang tidak berjarak.
Ini terbukti dengan sokongan konsisten yang diterimanya dalam setiap pilihan raya.
Dalam era politik yang kerap berubah landskap dan penuh dengan ketidaktentuan, kejayaan beliau mempertahankan kerusi Kawang selama lebih dua dekad mencerminkan daya tarikan politiknya yang unik.
Ghulam bukan sahaja mampu mengekalkan sokongan tradisional, malah turut berjaya menawan generasi baharu pengundi dengan gaya kepimpinan yang progresif namun berpijak di bumi nyata.
Selain itu, kekuatan beliau turut terletak pada strategi komunikasi yang berkesan dan jaringan politik akar umbi yang mapan.
Beliau faham bahawa kemenangan tidak hanya bergantung kepada populariti peribadi, tetapi juga kepada kemampuan menggerakkan jentera parti serta menjalin kerjasama dengan semua komponen parti dan masyarakat.
Penganalisis politik menyifatkan Ghulam sebagai figura penting dalam lanskap politik Sabah yang mampu membawa kestabilan dan keyakinan dalam situasi politik yang sering mencabar.
Kredibiliti beliau menjadi sandaran dan ukuran dalam membina semula kepercayaan rakyat terhadap institusi politik.
Hakikatnya, Ghulam telah membuktikan bahawa politik bukan sekadar permainan kuasa, tetapi medan khidmat yang menuntut ketelusan, keikhlasan dan dedikasi berpanjangan.
Justeru, beliau bukan sahaja kekal relevan, malah terus menjadi aset berharga kepada rakyat Kawang dan politik Sabah secara keseluruhannya.

Add Comment