Home » Maijol, pemimpin yang boleh diharap untuk Bandau
Politik Sudut Pandangan

Maijol, pemimpin yang boleh diharap untuk Bandau

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bandau, Datuk Maijol Mahap.

Baru-baru ini tersebar satu artikel bertajuk “Bandau dalam Timbangan: Mampukah Maijol Tewaskan Jaiping?”, tulisan seorang yang bernama Anak Zon Utara. Penulis ini cuba menggambarkan seolah-olah Datuk Dr Maijol Mahap tidak layak lagi untuk bertanding mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di DUN Bandau. Artikel tersebut seolah-olah mahu menanam persepsi bahawa hanya orang muda (kalaulah dikatakan muda) seperti bakal calon dari PKDM, Jaiping Minsu, yang layak dan relevan untuk rakyat Bandau.

Sebagai rakyat biasa yang mengikuti perkembangan politik kawasan ini sejak sekian lama, izinkan saya berkongsi pandangan secara jujur dan mudah difahami.

Datuk Dr Maijol Bukan Calon Baru, Tapi Beliau Tak Pernah Berputus Asa

Datuk Dr Maijol Mahap memang bukan orang baru dalam politik. Beliau sudah lama berkhidmat dan dikenali bukan saja di Kota Marudu, tapi juga di peringkat negeri dan negara. Ya, memang benar beliau pernah bertanding dan kalah. Tetapi itu tidak bermakna beliau tidak layak atau gagal. Ramai pemimpin besar dalam negara kita pun pernah kalah dalam pilihan raya. Yang penting ialah semangat dan kesungguhan beliau untuk terus berkhidmat.

Walaupun kalah dalam pilihanraya, beliau tetap bersama rakyat. Beliau hadir di kenduri, di rumah yang ditimpa kesusahan, di program belia, di gereja, di masjid, dan di kampung-kampung. Beliau tidak hanya muncul semasa pilihan raya. Itulah bukti keikhlasan beliau.

Dakwaan “Senator Tanpa Suara” Adalah Tidak Benar

Ada pihak yang menuduh bahawa semasa menjadi Senator, Datuk Dr Maijol tidak bersuara untuk rakyat. Ini tidak tepat. Sesiapa yang pernah ikuti ucapan beliau dalam Dewan Negara tahu bahawa beliau sering membangkitkan isu tentang Sabah, termasuk masalah kemudahan di luar bandar, pendidikan anak-anak, dan hak Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

Cuma, beliau bukan jenis pemimpin yang suka menunjuk-nunjuk atau berlakon depan kamera. Beliau lebih suka bekerja senyap-senyap dan selesaikan masalah terus kepada pihak berkenaan. Itu sebabnya kadang-kadang orang luar tidak nampak, tapi yang rapat dengan beliau tahu apa yang beliau buat.

Apa Yang Rakyat Bandau Perlukan Sekarang?

Rakyat Bandau bukan mahu pemimpin yang pandai cakap saja. Kita mahu pemimpin yang tahu kerja, tahu cara bantu rakyat, dan ada hubungan baik dengan kerajaan negeri dan pusat supaya lebih banyak bantuan sampai ke kampung-kampung kita.

Datuk Dr Maijol sudah ada pengalaman. Beliau ada hubungan baik dengan pemimpin di Sabah dan di Kuala Lumpur. Bila rakyat ada masalah tanah, jalan rosak, atau minta bantuan sekolah anak-anak, beliau tahu saluran mana yang boleh bantu. Beliau tidak perlu belajar dari awal lagi. Bandau sudah banyak ketinggalan. Kita tidak ada masa untuk beri peluang kepada orang yang baru belajar seperti yang ditonjolkan oleh penulis Anak Zon Utara.

Calon Muda Itu Bagus, Tapi Belum Terbukti

Tiada siapa menolak anak muda. Kita semua mahu lihat anak muda berjaya. Tapi jadi wakil rakyat bukan kerja mudah. Perlu pengalaman, perlu hubungan, perlu kefahaman bagaimana sistem kerajaan berfungsi. Kalau baru belajar, banyak masa habis untuk faham kerja saja, belum sempat bantu rakyat.

Lagipun, setakat ini rakyat masih belum nampak apa pencapaian besar calon dari PKDM itu. Aktif dalam program belia itu bagus, tapi belum cukup untuk kita serahkan tanggungjawab jaga seluruh kawasan Bandau. Selepas PRN16 lalu sehingga sekarang apakah pencapaian YB Bandau dari PKDM ini? Pencapaiannya tidak lebih daripada menyambung usaha yang dibuat oleh pemimpin terdahulu darinya. Dibawah YB dari PKDM, tiada projek pembangunan yang boleh dibanggakan di Bandau sehingga kini. Ringkas kata, pemimpin PKDM tiada dasar dan halatuju yang jelas bagaimana memajukan Bandau.

GRS Sudah Banyak Membantu Sabah, Termasuk Bandau

Di bawah kerajaan GRS yang diketuai oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, banyak program pembangunan sedang dijalankan. Rumah Mesra SMJ, pembinaan jalan luar bandar, bantuan pendidikan, bantuan RM300 kepada yang layak, insurans percuma, bantuan one-off penjaja di tepi jalan dan banyak lagi bantuan yang semakin banyak dirasai oleh rakyat. Ini bukan omong kosong. Sudah ramai di Bandau sendiri yang mendapat manfaat.

Datuk Dr Maijol sebagai Ketua Bahagian Gagasan Rakyat N6 Bandau telah banyak memainkan peranan untuk memastikan bantuan sampai kepada rakyat. Beliau sering turun padang, bukan hanya sebagai pemimpin politik, tetapi juga sebagai seorang yang peduli nasib rakyat.

Rakyat Bandau Mahukan Pemimpin Yang Stabil dan Konsisten

Kita sudah cukup penat dengan politik lompat-lompat, politik gaduh, dan politik janji kosong. Kita mahu wakil rakyat yang kekal bersama kita, tidak melompat bila ada tawaran. Kita mahu wakil rakyat yang boleh kita cari bila susah, bukan hilang bila sudah menang.

Datuk Dr Maijol telah membuktikan beliau sentiasa berada bersama rakyat. Beliau bukan pemimpin yang hanya tahu berjanji, tetapi pemimpin yang tahu melaksanakan. Tidak banyak cakap tapi kerja berjalan. Bukan seperti pembangkang yang siang malam berjanji bintang dan bulan kepada rakyat Bandau.

Kesimpulan: Undilah Berdasarkan Rekod, Bukan Emosi

Pilihan raya bukan tempat untuk main sentimen atau cuba-cuba. Ia menentukan masa depan kita. Jangan mudah terpedaya dengan cerita yang sedap didengar tapi belum terbukti. Pilihlah pemimpin yang ada pengalaman, ada hubungan, dan ada hati untuk berkhidmat.

Datuk Dr Maijol Mahap mungkin bukan calon yang muda lagi, tapi beliau calon yang boleh diharap. Beliau bukan sempurna, tapi beliau telah lama berjuang tanpa mengira musim pilihan raya. Dan inilah pemimpin yang kita perlukan di Bandau.

*Artikel ini ditulis oleh Tinta Kencana (bukan nama sebenarnya). Beliau merupakan pemerhati politik kelahiran Kota Marudu. Tulisan ini adalah berdasarkan pendapat peribadi beliau dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat)

About the author

Elle ABT

Add Comment

Click here to post a comment