KOTA KINABALU: Konsep Malaysia Madani perlu difahami dan diperjelaskan secara menyeluruh dan holistik kepada rakyat di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, konsep berkenaan perlu dikupas secara ilmiah oleh pakar ilmuan pelbagai bidang dengan mengaitkan ciri kepelbagaian yang sinonim dengan negara kita khususnya di Sabah.
Menurutnya, konsep Malaysia Madani yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai satu paradigma baharu untuk negara mengolah hala tuju dasar dan pelaksanaan strategi.
Katanya, ia merentas semua sektor demi kemajuan, kecemerlangan dan kesejahteraan tanah air tercinta.
“Usaha untuk menghayati konsep ini amatlah penting sebagai landasan asas kepada kita semua untuk sama-sama mencipta lonjakan baharu yang lebih harmoni, sejahtera, adil dan makmur.
“Justeru, konsep ini amat bersesuaian dengan suasana dan keperluan di negeri ini yang mempunyai lebih 30 etnik,” katanya ketika merasmikan Forum Malaysia Madani: Keharmonian dalam Kepelbagaian di sini hari ini.
Forum berkenaan dianjurkan oleh Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) bersama Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas).
Hajiji berkata, konsep Membangun Malaysia Madani yang terdiri daripada enam tonggak dasar iaitu M (keMampanan), A (kesejAhteraan), D (Daya cipta), A (hormAt), N (keyakiNan) dan I (Ihsan), bertepatan dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri.
Pada masa sama, beliau turut bangga kerana Sabah adalah negeri yang terawal menganjurkan seminar dan forum berkaitan Malaysia Madani bagi mengupas dan memperjelas gagasan besar yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri.
Katanya, pada bulan lepas, Seminar Membangun Malaysia Madani Dari Naratif Lokal di Sabah dianjurkan oleh Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Negeri Sabah, Institut Darul Ehsan (IDE) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah di negeri ini.
“Saya percaya akan ada lagi persatuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta termasuk agensi kerajaan menganjurkan seminar, forum dan bengkel yang mengupas lebih lanjut serta mendalami konsep Malaysia Madani demi manfaat ahli-ahli, para pelajar, graduan dan kakitangan kerajaan,” jelasnya.
Hajiji berkata, walaupun USIA adalah sebuah pertubuhan Islam, namun peranan dan tanggungjawabnya dalam membantu usaha kerajaan melaksanakan program yang bermanfaat kepada rakyat tanpa mengira bangsa dan agama, wajar disokong oleh semua pihak.
Sehubungan itu, beliau berharap USIA terus maju ke hadapan, bukan semata-mata beramal dan berdakwah, tetapi juga bergiat aktif dalam pelbagai bidang, membantu kerajaan dalam mempertahankan keharmonian kaum, kemakmuran negara dan kesejahteraan hidup rakyat.
“Syabas kepada USIA, teruskanlah kerja-kerja perbengkelan seumpama ini yang besar manfaatnya kepada seluruh ahli dan masyarakat setempat,” katanya.
Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam dan Yang Dipertua USIA Datuk Sapawi Ahmad.
— Siti Aisyah Narudin
Add Comment