KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) menyokong usaha membangunkan Malaysia Madani kerana ia selari dengan tuntutan serta kehendak agama serta menepati hala tuju kerajaan negeri.
Yang Dipertua USIA Datuk Sapawi Ahmad berkata, konsep Malaysia Madani seiring dengan pembangunan negeri ini melalui slogan Sabah Maju Jaya (SMJ) di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
Katanya, USIA percaya jika elemen atau objektif mewujudkan Malaysia Madani digabungkan dengan prinsip dan hala tuju SMJ, tentunya pembangunan negara khususnya di Sabah akan dapat dicapai dengan lebih pantas.
“Saya ingin menegaskan bahawa pengurusan USIA yang ada sekarang akan meneruskan agenda pertubuhan ini iaitu menjadikan dakwah sebagai teras perjuangannya.
“Sudah tentu usaha dalam bidang dakwah memerlukan pendekatan baharu serta lebih praktikal sesuai dengan zaman dunia digital masa kini.
“Justeru, USIA menyokong penuh hala tuju SMJ selaras dengan transformasi USIA melalui Pelan Strategik Pembugaran USIA 2022-2024,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Forum Malaysia Madani: Keharmonian dalam Kepelbagaian anjuran USIA bersama Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas)yang dirasmikan oleh Ketua Menteri di sini hari ini.
Dalam pada itu Sapawi berkata, objektif utama penganjuran forum itu adalah untuk melestarikan masyarakat yang berilmu pengetahuan melalui perbincangan ilmiah dan interaksi serta ruang yang selesa bagi mengemukakan saranan dan pendapat tanpa membezakan suku, ras dan agama.
Menurutnya, forum berkenaan bertujuan menyuburkan masyarakat yang beradab dan berilmu dengan nilai-nilai kemanusiaan bagi menjamin keseimbangan antara kebebasan individu serta kestabilan negara dan masyarakat.
“USIA juga bercadang untuk menganjurkan Forum Malaysia Madani di enam zon di seluruh Sabah iaitu Zon Tawau, Zon Sandakan, Zon Pantai Barat Utara, Zon Pedalaman Atas, dan Zon Pedalaman Bawah.
“Penganjuran forum-forum itu akan diadakan secara kolaborasi dengan jabatan-jabatan serta agensi-agensi di bawah kerajaan negeri,” katanya.
Selain itu jelasnya, USIA turut memberikan tumpuan utama terhadap gerakan dakwah media sosial untuk menyampaikan maklumat mengenai USIA serta mesej dakwah dan pendidikan Islam.
Katanya, dalam bidang pendidikan pula, USIA akan bekerjasama dengan Institut Kefahaman Islam Darul Reduan (IKDAR) melibatkan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kepada lepasan pusat tahfiz al-Quran di seluruh Sabah.
Beliau berkata, usaha itu bagi mendedahkan para lepasan tahfiz sehingga ke tahap diploma untuk mendapatkan peluang memajukan diri dalam bidang vokasional, selain memiliki sijil tahfiz al-Quran (Huffaz).
Menurutnya, terdapat lebih 45 pusat tahfiz al-Quran di seluruh Sabah setakat ini dan USIA juga sedang mengemas kini pembangunan asetnya bagi menjana ekonomi.
Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Malai Ali Malai Ahmad.
— Siti Aisyah Narudin
Add Comment