Home » Fairuz umum penubuhan skuad GAHMUDA
Uncategorized

Fairuz umum penubuhan skuad GAHMUDA

Fairuz mengalu-alukan kebersamaan anak muda bagi sama-sama menyemarakkan semangat kesukarelawanan melalui wadah GAHMUDA.

KOTA KINABALU: Ketua Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Fairuz Renddan mengumumkan penubuhan skuad GAHMUDA merupakan sebuah pasukan sukarela yang menjadi platform kepada penggerak pemuda dan penyokongnya serta anak muda di negeri ini.

Fairuz berkata, skuad GAHMUDA ditubuhkan bagi menyumbang buah fikiran, tenaga dan masa mencakupi isu kebajikan rakyat, bencana alam, kemalangan, malapetaka dan seumpamanya.

“Setakat ini GAHMUDA menerima 300 permohonan keahlian dan sasaran kami adalah 20 ribu penyertaan dari anak muda Sabah,” katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat kali pertama di Ibu Pejabat parti di Alamesra, dekat sini, hari ini.

Sehubungan dengan itu, Fairuz mengalu-alukan kebersamaan anak muda bagi
sama-sama menyemarakkan semangat kesukarelawanan melalui wadah GAHMUDA.

“Pemuda Gagasan Rakyat akan sentiasa
memperjuangkan isu-isu anak muda Sabah bagi memastikan golongan ini akan sentiasa terbela dan terjaga haknya,” katanya.

Terdahulu, beliau turut mengumumkan senarai jawatankuasanya yang menggabungkan pemimpin muda daripada pelbagai latar belakang selaras dengan falsafah perjuangan Gagasan Rakyat.

Dalam mesyuarat itu, Azrul Ibrahim diumumkan sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat.

Fairuz menyatakan pelantikan Azrul sebagai Naib Ketua Pemuda adalah berdasarkan pengalaman serta kebolehan beliau menerajui beberapa organisasi termasuk pernah menjadi pemimpin mahasiswa dan Ahli Parlimen Belia Malaysia sebelum ini.

Turut diumumkan pelantikan Khazarudin Kahar sebagai Penolong Setiausaha, Mohammad Ghazali Hajiji Penolong Bendahari dan Barhul Sahibu Ketua Penerangan selain barisan Exco pemuda Gagasan Rakyat.

EDITOR