Home » Gagasan Rakyat Bandau sokong usul Maijol dijadikan calon GRS pada PRN – 17
Berita GRS Politik

Gagasan Rakyat Bandau sokong usul Maijol dijadikan calon GRS pada PRN – 17

Pengerusi Pengelola Persidangan, Dr Jurin Gunsalam menyampaikan cenderamata kepada Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bandau, Datuk Dr Maijol Mahap di sini pada Ahad.

BANDAU:Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian N6 Bandau menyatakan sokongan penuh kepada Ketua Bahagian mereka, Datuk Dr Maijol Mahap, untuk menjadi calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.

Sokongan ini dibuat melalui usul yang diluluskan sebulat suara dalam Persidangan Tahunan Bahagian yang diadakan di Dewan Komuniti Kota Marudu pada Ahad.

Sebelum itu, semasa persidangan sayap Pemuda dan Beliawanis, Ketua Pemuda Datu Farid Datu Liman dan Ketua Beliawanis Dr Nur Nadirah Isahak juga menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi agar Maijol dicalonkan oleh Presiden dan Pengerusi GRS, YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Noor. Mereka yakin dengan kepimpinan dan pengalaman Datuk Dr Maijol yang boleh membawa pembangunan dan perubahan positif kepada penduduk di DUN Bandau.

“Beliau bukan sahaja berpengalaman, tetapi juga ada visi yang jelas untuk kemajuan rakyat Bandau,” kata Datu Farid dalam ucapannya.

Pengerusi Pengelola Persidangan, Dr Jurin Gunsalam pula menyeru semua pemimpin dan ahli GRS di Bandau supaya bersatu menyokong calon dari Gagasan Rakyat. Beliau menegaskan pentingnya DUN Bandau dimenangi oleh GRS untuk kemajuan dan pembangunan berterusan.

“Kita tidak boleh berpecah. Kita mesti pastikan Bandau dirampas oleh GRS dalam PRN17. Ini demi rakyat dan masa depan mereka,” katanya yang menerima sorakan dan tepukan para perwakilan.

Dalam persidangan itu juga, AJK Bahagian, Mohamad Isahak Awang membentangkan satu lagi usul agar parti bertindak tegas termasuk memecat keahlian terhadap mana-mana pihak yang cuba sabotaj calon GRS di DUN Bandau. Usul ini disokong kuat oleh para perwakilan, menunjukkan semangat mereka dalam menjaga disiplin dan kesetiaan kepada parti.

Persidangan ini dirasmikan oleh Maijol sendiri, dan berjaya menarik kehadiran 1,203 orang, termasuk 840 perwakilan dari seluruh cawangan N6 Bandau.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah pemimpin-pemimpin Gagasan Rakyat dan parti komponen GRS termasuk Dato Dr Jonathan Kandok (Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tandek dan pemerhati negeri), Barlus Magambis (Ketua Bahagian Matunggong), Dato Webley Disim (Setiausaha Agung PCS), Yunus Odis (Ketua Bahagian PCS Bandau), Julita Dalinsi (Timbalan Ketua Bahagian PBS Bandau), dan Jappri Taising (Naib Ketua Bahagian StarSabah Bandau).

Kehadiran ramai pemimpin ini menunjukkan kerjasama erat antara parti-parti dalam GRS serta sokongan kuat terhadap calon tempatan dari Gagasan Rakyat. Suara akar umbi yang disuarakan melalui usul hari ini memberi mesej jelas kepada kepimpinan GRS – rakyat di Bandau mahu Datuk Dr Maijol sebagai calon dan pemimpin mereka pada PRN akan datang.

— TAMAT