Home » Lupakan perselisihan, kukuhkan perpaduan dalam Gagasan Rakyat
Berita GRS Politik

Lupakan perselisihan, kukuhkan perpaduan dalam Gagasan Rakyat

SIAP SIAGA:Redonah bersama perwakilan Gagasan Rakyat bahagian Bandau di Dewan Komuniti Kota Marudu.

BANDAU:Jentera parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) diminta mengukuhkan perpaduan dan mengurangkan perselisihan sesama sesendiri ketika menghadapi pilihan raya negeri ke 17 yang semakin hampir.

Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Redonah Bahanda berkata, ketika ini semua pihak perlu memberi keutamaan kepada usaha mempertahankan kerajaan yang disandang pada hari ini dan bukannya isu-isu lain yang boleh melemahkan parti.

Menurut beliau, perjuangan perlu difokuskan kepada perjuangan memastikan kepimpinan diterajui Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor berjaya mendapat mandat baharu daripada rakyat dalam membawa kemajuan dan pembangunan negeri Sabah.

Redonah bersamapara perwakilan

“Gerak kerja kita perlu bersepadu, saling sokong-menyokong, saling menutupi ruang kelemahan dan kekurangan yang ada, serta saling menjayakan apa sahaja program yang dirancang. Ibarat tiang rumah yang menyokong serta batu-bata yang saling mengukuh.

“Jika ada sebarang perbezaan pendapat dan perselisihan, selesaikan sahaja di meja rundingan. Jangan gunakan media sosial untuk meluahkan perasaan, kerana tiada kebaikan yang diperoleh kepada parti, sebaliknya memberi peluang kepada pihak lawan untuk mengalahkan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat bahagian Bandau di Dewan Komuniti Kota Marudu Ahad lalu.

Persidangan dirasmikan oleh Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat Datuk Maijol Mahap yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bandau serta jawatankuasa Gagasan Rakyat Bandau dan sayap-sayap tiga pergerakan.

Redonah yang juga Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bandau berkata, perpaduan dalam kalangan jentera akan menterjemahkan semangat saling menghormati antara anggota serta  kesetiaan kepada kepimpinan.

“Tanpa perpaduan dan kesetiaan usaha dan kerja keras kita akan menjadi sia-sia. Apa lagi untuk kita pertahankan kerajaan yang diteraju Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

“Amat penting bagi kita semua untuk meneruskan kecemerlangan yang telah dibuktikan oleh Ketua Menteri kita, malah Sabah hari ini begitu stabil, makmur dan terus bergerak maju di bawah kepimpinan beliau,” katanya.

Beliau turut mengingatkan jentera parti bahawa parti lawan sentiasa mencari kelemahan dan keburukan Gagasan Rakyat bagi menarik sokongan rakyat.

Katanya, mereka akan berusaha menanam kebencian serta memutar-belitkan fakta bagi mengelirukan orang ramai khususnya ketika pilihan raya yang semakin hampir.

Sehubungan itu katanya, semua pihak tidak lagi boleh leka dalam melaksanakan gerak kerja termasuk menyalurkan maklumat yang betul dan tepat kepada rakyat.

— TAMAT