Home » Gagasan Rakyat mampu pertahan kerusi DUN Kawang: Armizan
Berita GRS Politik

Gagasan Rakyat mampu pertahan kerusi DUN Kawang: Armizan

POLITIK: Armizan dan Ghulam bersama ahli jawatankuasa Gagasan Rakyat Bahagian Kawang pada majlis itu.

PAPAR: Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali optimis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang dalam pilihan raya negeri akan datang.

Ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Kawang, beliau berkata dukungan rakyat di kawasan itu kepada ADUN, Dato Sri Ghulam Haidar Khan Bahadar begitu memberangsangkan.

“Tidak kira orang lama mahupun anak muda, semuanya turun bersama sebagai komitmen dan sokongan jitu terhadap perjuangan parti. 

“Saya amat teruja dengan semangat dan kesungguhan ahli-ahli parti yang hadir dan menjayakan persidangan ini,” katanya, disambut tepukan dan sorakan perwakilan yang spontan melaungkan nama Ghulam.

Beberapa perwakilan turut mengangkat sepanduk yang mahukan Ghulam terus diangkat sebagai calon mempertahankan kerusi DUN Kawang.

Armizan yang juga Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata perhimpunan itu menjadi medan membugar semangat, iltizam dan tekad dalam mempersiapkan parti menyahut semboyan pilihan raya.

“Melihat kepada kehadiran ribuan ahli, memberikan keyakinan dan jaminan kesiapsiagaan untuk kita mempertahankan kemenangan,” katanya.

Terdahulu ketibaan Armizan dan Ghulam menaiki motosikal diarak ratusan pemuda bermotosikal ke lokasi persidangan di Lokawi Height, dekat sini.

Majlis perasmian diadakan pada sebelah petang setelah tiga sayap Pemuda, Wanita dan Beliawanis, mengadakan mesyuarat masing-masing di tempat sama pada sebelah pagi.