KOTA KINABALU: Tindakan sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terlibat dalam Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0 di ibu negeri minggu lepas, amatlah mengecewakan.
Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin berkata, tindakan sekumpulan mahasiswa yang membakar karikatur semasa perhimpunan itu amatlah tidak wajar dan agak keterlaluan.
Jelasnya, aksi itu (membakar karikatur) bukan budaya sebenar orang Sabah kerana ia dikhuatiri akan mencetuskan provokasi yang kemungkinan akan mengundang perpecahan serta mengganggu keharmonian sekaligus mencemarkan institusi pendidikan sendiri.
“Mahasiswa sepatutnya membawa suara dengan pendekatan yang lebih berhemah dan bukannya dengan cara yang melampau seperti itu. Hormatilah tanah tempat anda menuntut ilmu.
“Yang jelas budaya daripada luar yang dibawa masuk ke bumi Sabah ini semakin keterlaluan,” katanya.
Justeru, Shahril meminta supaya pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap perkara itu kerana ia telah mencemarkan keharmonian negeri Sabah, yang terkenal dengan toleransi dan keamanan.
Katanya lagi, jika perkara itu tidak dikenakan tindakan ia dikhuatiri akan berulang dan lebih parah akan mengundang perpecahan dan keresahan awam, terutamanya dalam kalangan masyarakat setempat.
“Kami memohon agar pihak polis menyiasat perkara ini dengan segera dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang telah melanggar undang-undang, termasuk tindakan mencetuskan provokasi, menghina institusi atau menyalahguna ruang awam.
“Kami juga berharap tindakan susulan dapat diambil oleh pihak berkuasa universiti terhadap mereka yang terbabit sekiranya terbukti melanggar tatatertib,” katanya.
–Kenneddy Corlleus/Utusan Borneo
Add Comment