GESAAN KETUA MENTERI LETAK JAWATAN TINDAKAN TERBURU-BURU DAN BERMOTIF POLITIK
Beberapa pemimpin sayap parti politik menggesa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor meletak jawatan susulan pendedahan beberapa video (yang disunting), didakwa mempunyai unsur rasuah.
Persoalan pertama, adakah kes ini mempunyai merit untuk dikaitkan dengan Ketua Menteri?
Kedua, adakah gesaan ini terpakai kepada semua pemimpin sama ada yang dikaitkan/dituduh, sedang disiasat dan dalam proses perbicaraan di mahkamah?
Pertama, kes ini sudah pun mula disiasat oleh pihak berkuasa. Beberapa individu telah dipanggil untuk diambil keterangan. Walaubagaimanapun belum ada pendakwaaan terhadap mana-mana individu. Gesaan untuk Ketua Menteri meletak jawatan dibuat secara terburu-buru dan bersifat polemik berkepentingan kerana sepanjang tempoh video-video tersebut tersebar, tidak ada langsung isu yang boleh dikaitkan dengan Ketua Menteri.
Lebih mengelirukan, tindakan pemberi maklumat yang memilih untuk mendedahkan suntingan video tersebut melalui MalaysiaKini (sebuah portal berita sensasi penuh manipulasi) berbanding melaporkannya kepada SPRM meninggalkan banyak persoalan. Malah sehingga hari ini, tiada laporan mengenainya dibuat kepada mana-mana pihak berkuasa.
Maka kes ini tidak ada merit langsung untuk dikaitkan dengan YAB Ketua Menteri.
Kedua, jika pendedahan video-video seperti itu dijadikan sandaran untuk meminta mana-mana pemimpin meletak jawatan, bagaimana pula dengan pemimpin lain yang dikaitkan dengan kes seumpamanya, yang sedang disiasat dan sedang menghadapi pertuduhan kes di mahkamah? Ada antara mereka masih memegang jawatan sama ada diperingkat kerajaan mahu pun parti. Adakah mereka juga perlu melepaskan jawatan?
YAB Perdana Menteri sendiri dituduh bermacam-macam oleh pihak tertentu mengenai salah guna kuasa dan berkaitan. Malah media antarabangsa turut membuat kenyataan liar terhadap PMX berkenaan isu yang sama. Adakah PMX perlu meletakkan jawatan atas tuduhan tidak berkredibiliti seperti itu?
Begitu juga dengan beberapa kes melibatkan pemimpin yang masih memegang jawatan dalam parti dan kerajaan. Adakah mereka juga perlu meletakkan jawatan? (rujuk beberapa pautan berkaitan)
Malah ada antara pemimpin yang ketika memegang jawatan penting dalam kerajaan disiasat dan dihadapkan di mahkamah (kemudian ada antara kes yang digugurkan), malah mereka masih menjalankan tugas dalam kerajaan. (rujuk beberapa pautan berkaitan)
Kita setuju gejala rasuah dan seumpamanya wajib dibenteras. Tapi isu berkaitan dengannya perlu diurus dengan bijaksana.
Paling mustahak, pihak SPRM telah pun memulakan siasatan dalam kes berkaitan video-video yang tular. Berikan kepercayaan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka seperti mana pengendalian kes Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Syafie Apdal, Lim Guan Eng, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Bung Mokhtar, Datuk Peter Anthony dan beberapa lagi pemimpin.
*Azrul bin Ibrahim ialah Naib Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
*Beliau juga merupakan Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Bahagian Kawang.
Add Comment