Home » GRS akan mempertahankan semua kerusi disandang
Berita GRS Politik

GRS akan mempertahankan semua kerusi disandang

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan ucapannya di Majlis Pelancaran Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) di Dewan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya pada Khamis di sini.

KOTA KINABALU: Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor memberi isyarat ‘tidak setuju’ sekiranya Pakatan Harapan (PH) ingin bertanding di kawasan disandang wakil Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang PRN17.

Ketua Menteri berkata demikian mengulas hasrat Ketua PKR Sabah Mustapha Sakmud menyatakan sedang ‘risik-risik’ bertanding di DUN Tempasuk, disandang pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Mohd Arsad Bistari.

ADUN Tempasuk Mohd Arsad Bistari 

“Saya dengar juga itu, tapi kadang-kadang beginilah orang politik. Dia tidak tahu itu kerusi orang lain. Salahkah bagi saya kalau cakap, kita pertahankan kerusi yang kita sandang. Jadi fikir-fikirkanlah.

“Jangan kerusi orang lain pun kita ambil, macam mana kita kerjasama, bukankah? Saya bukan kacau orang lain, saya atur saya punya parti sendiri. Saya tidak mahu cakap panjang,” katanya ketika ditemui Berita Harian pada Khamis selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri di Dewan Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, Kota Kinabalu.

Ketua PKR Sabah Mustapha Sakmud 

Dalam pada itu, pengerusi GRS dan presiden Gagasan Rakyat, menegaskan GRS akan mempertahankan semua kerusi disandangnya ketika ini.

“Memanglah kita akan pertahankan kerusi-kerusi yang kita ada sekarang ini.

“Tapi, siapa (calon) boleh menang, itu yang kita akan bagi,” katanya.

Beliau berkata, perbincangan akan dilakukan dengan parti komponen GRS terlebih dahulu sebelum diteruskan dengan parti gabungan dalam kerajaan sekarang iaitu Pakatan Harapan (PH) Plus.

— TAMAT

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment