Home » Umum projek bukan pancing undi – Hajiji
Berita GRS Politik

Umum projek bukan pancing undi – Hajiji

Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri di Dewan Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, Kota Kinabalu menegaskan akan mempertahan semua kerusi yang disandang oleg GRS.

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa pelaksanaan projek pembangunan yang diumumkannya sebelum ini bukan sebagai ‘pancing undi’ untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun ini.

Sebaliknya, beliau berkata, ia adalah tanggungjawab kerajaan untuk menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi di negeri ini.

“Ini bukan pancing undi, ini inisiatif kerajaan. Pemimpin pembangkang macam-macam saja dia buat, tiada lagi yang mereka fikirkan, itu saja (menyerang kerajaan).

“Jadi apa yang mereka mahu kerajaan buat? Umum projek untuk dilaksana marah, tidak umum marah, jadi apa yang mereka mahu. Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan program-program ataupun projek-projek pembangunan untuk rakyat,” katanya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama sebahagian penerima Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) pada Majlis Pelancaran SENTOSA di Dewan Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, Kota Kinabalu pada Khamis.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA), di Dewan Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata, pelbagai isu dibangkitkan termasuk bekalan air, elektrik dan infrastruktur di mana sudah menjadi tugas kerajaan untuk mencari inisiatif menyelesaikan perkara itu.

“Jadi kita umumkah, tidakkah, jangan kecil hati atau iri hati kerana itu tugas kerajaan, kita menyelesaikan banyak isu di Sabah.

“Sekarang masalah air yang disebut banyak kali, elektrik dan lain-lain. Tugas kita untuk mencari jalan menyelesaikan masalah. Jadi di mana tempat kita umumlah kalau kita ingat.

“Bukan cakap kosong, yang cakap kosong itu mereka, kerana tidak boleh buat apa-apa,” katanya.

Sebelum itu, Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang giat mengumumkan pelbagai projek pembangunan menjelang PRN.

Beliau turut mempersoalma adakah usaha itu sebenarnya untuk membangunkan negeri atau sekadar strategi lama untuk memancing undi.

ASYIKIN ASMIN