Home » GRS bakal memahat sejarah baharu Sabah
Berita GRS Politik

GRS bakal memahat sejarah baharu Sabah

TENANG: Hajiji disambut dan diiringi beberapa wakil rakyat ketika hadir pada persidangan DUN Sabah berakhir kelmarin.

PERSIDANGAN dua hari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berakhir kelmarin, tanpa petunjuk baharu tentang tarikh pilihan raya negeri ke-17 (PRN17).

Sekadar memberi bayangan, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor mengiyakan kemungkinan persidangan itu yang terakhir sebelum DUN dibubarkan.

Sidang DUN ini adalah sesi pertengahan tahun dan jika mengikut jadual, akan ada sidang Belanjawan pada Oktober atau November depan.

Manakala DUN Sabah akan terbubar secara automatik pada 11 November 2025 jika tidak dibubarkan lebih awal — berjarak empat bulan dari sekarang.

Apapun, persidangan yang berakhir semalam, menjadi medan sebahagian wakil rakyat yang berbahas merakamkan penghargaan kepada DUN atas segala khidmat dan kebaikan sepanjang kira-kira lima tahun.

Dari nada ucapan mereka, rata-rata membayangkan ia persidangan terakhir sebelum DUN dibubarkan.

Hajiji turut mengungkapkan: “Hampir lima tahun sudah dan sekarang kita hanya tunggu bila kita mengadakan pilihan raya.”

Menurutnya, kerajaan sudah melaksanakan yang terbaik untuk rakyat dengan pelbagai inisiatif baharu yang tidak pernah dibuat oleh kerajaan sebelum ini.

Penganalisis politik menganggap soal penetapan tarikh pilihan raya tidak menjadi isu bagi Hajiji kerana kerajaan GRS-PH Plus pimpinannya sudah lama siap siaga.

Yang diperhalusi kini adalah soal agihan kerusi dalam kalangan lapan komponen bernaung di bawah payung GRS.

Manakala soal jajaran politik hingga kini masih menjadi teka-teki meski rata-rata anggota komponennya mahukan mereka bergerak solo.

Lapan komponen GRS terdiri daripada  Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) sebagai tunjang utama, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

Penganalisis politik melihat GRS bukan sekadar sebuah pakatan politik, tetapi cerminan kehendak rakyat Sabah yang mendambakan kestabilan, kemajuan dan suara tempatan yang tulen.

Di atas bahtera itu, Hajiji telah membawakan suara rakyat dengan tenang dan berhemat, sederhana tapi berkesan. Pembangunan menjangkau ke akar-umbi, manakala pelaburan berkembang memacu ekonomi negeri.

Rekod pembangunan dan perkhidmatan selama hampir lima tahun, adalah jawapan terbaik kepada segala fitnah dan cakap-cakap politik.

Kerana itu, Hajiji meletakkan kepercayaan kepada rakyat Sabah. Beliau tidak mendabik dada, tetapi berkata benar walau pahit, berkhidmat tanpa mengenal lelah.

Di bawah kepimpinannya, GRS bukan sahaja sudah bersedia untuk menghadapi PRN17, malah bersedia untuk memahat sejarah baharu buat negeri Sabah.

PRN17 ini, dengan 73 kerusi jadi taruhan, bakal menyaksikan pertembungan beberapa kelompok parti utama.

Selain gabungan besar Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), terdapat juga beberapa parti tempatan Sabah yang pastinya akan mengambil bahagian.

Antara parti tempatan Sabah termasuk Parti Warisan Sabah (WARISAN), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Impian Sabah (PIS).

WARISAN dipimpin Datuk Seri Panglima Shafie Apdal, manakala KDM digerakkan oleh Priscella Peter, anak perempuan Datuk Peter Anthony.

Kedua-dua parti itu sudah menyatakan kesediaan bertanding jumlah kerusi yang signifikan banyaknya.

Manakala Presiden PIS, Michel Alok, turut berikrar bergerak solo, sekali gus meletakkan calon di kesemua 73 kerusi, dengan keyakinan meraih sokongan rakyat.

Dalam pada itu, terdapat juga satu gerakan yang menggabungkan calon bebas, dikenali sebagai ‘gelombang hitam’ untuk mencabar parti-parti utama dalam PRN17 ini.

Pengasas gelombang itu, Verdon Bahanda yang juga Ahli Parlimen Kudat, mengakui terdapat kemungkinan di mana calon bebas menjadi ‘kingmaker’ dalam pembentukan kerajaan jika berjaya menawan antara empat hingga lima DUN.

Justeru, mereka akan menentukan jajaran politik selepas PRN nanti, bergantung pada keputusan di peti undi.

Hakikatnya, fokus semu kini menunggu wisel pengumuman pembubaran DUN oleh Hajiji dan kemudian disusuli penetapan tarikh pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

*Datuk Lichong Angkui ialah seorang wartawan veteran Sabah.Beliau juga merupakan Ketua Pengarang Utusan Borneo. Penulisan ini berdasarkan pandangan beliau sebagai pemerhati politik yang berfikir di luar kotak.