Home » Gagasan Rakyat Tanjung Aru prihatin terhadap mangsa rumah roboh
Berita GRS Politik

Gagasan Rakyat Tanjung Aru prihatin terhadap mangsa rumah roboh

Dr. Ritchie Jay Cheng menyampaikan sumbangan kepada mangsa kejadian rumah roboh di Kampung Tanjung Aru Lama.

TANJUNG ARU:Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tanjung Aru menzahirkan keprihatinan terhadap nasib sebuah keluarga di Kampung Tanjung Aru Lama yang terjejas akibat kejadian rumah roboh berhampiran Masjid Al-Kauthar semalam.

Pasukan sukarelawan Gagasan Rakyat Tanjung Aru yang diketuai oleh Dr. Ritchie Jay Cheng, bersama Ketua Kampung Tanjung Aru Lama, segera turun padang menyalurkan bantuan berupa pek makanan serta sokongan moral kepada keluarga mangsa yang mengalami kecederaan dan kerosakan kediaman.

Dr. Ritchie Jay Cheng menyantuni keluarga di Kampung Tanjung Aru Lama yang terjejas akibat kejadian rumah roboh berhampiran Masjid Al-Kauthar semalam.

Menurut Dr. Ritchie, tindakan pantas itu mencerminkan semangat kebersamaan dan tanggungjawab sosial Gagasan Rakyat dalam membantu masyarakat setempat yang ditimpa musibah, seiring dengan aspirasi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

“Kami amat bersimpati dengan nasib keluarga yang terjejas dan akan terus menyalurkan bantuan sewajarnya. Gagasan Rakyat Tanjung Aru komited untuk hadir bersama rakyat ketika diperlukan, tanpa mengira masa atau keadaan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu atas tindakan pantas menyelamatkan mangsa dalam kejadian tersebut.

Gagasan Rakyat Tanjung Aru akan terus bekerjasama dengan kepimpinan kampung dan agensi berkaitan bagi memastikan aspek keselamatan serta kebajikan penduduk di kawasan berkenaan terus dipantau dari semasa ke semasa.

— TAMAT