KENINGAU:Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Keningau, Rafie Robert, menegaskan bahawa sokongan padu rakyat amat penting bagi memastikan pembangunan yang telah dirintis oleh kerajaan GRS dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat luar bandar.
Beliau berkata demikian semasa pertemuan mesra bersama penduduk Kampung Masjid Kirokot, Apin-Apin, yang menerima sambutan hangat daripada komuniti setempat.
Menurut Rafie, kerajaan GRS di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi kesan langsung kepada rakyat, termasuk melalui Pelan Pembangunan Bingkor Membangun Bersama Rakyat (BMBR).

“GRS bukan sekadar janji, tetapi terbukti bekerja untuk rakyat. Jika kita mahu pembangunan berterusan, kesejahteraan rakyat mesti dipimpin oleh kerajaan yang konsisten dan stabil ,itulah GRS,” katanya.
Rafie menambah bahawa kesinambungan pentadbiran yang stabil membolehkan pelbagai program pembangunan dijalankan secara menyeluruh dan tersusun di kawasan pedalaman.
Beliau menyeru agar rakyat terus menyokong GRS sebagai kerajaan yang berpaksikan kesejahteraan rakyat dan tidak berasaskan kepentingan politik sempit.
“Pembangunan di Bingkor bukan hanya tentang infrastruktur, tetapi juga soal peluang ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan sosial. Semua ini dapat dijayakan kerana GRS mentadbir dengan kestabilan,” jelasnya.
Penduduk Kampung Masjid Kirokot turut sepakat menyatakan sokongan penuh kepada kerajaan GRS demi memastikan kesinambungan pembangunan dan masa depan Bingkor yang lebih makmur.
— TAMAT

























Add Comment