KOTA MARUDU:Suasana di tepi sungai Kampung Tambun Laut bertukar meriah apabila penduduk setempat menyertai Program Santai Bersama Penduduk Kampung Tambun Laut, yang turut dihadiri oleh Ketua Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) merangkap Timbalan Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Redonah Bahanda.
Program santai yang diadakan hujung minggu lalu itu dimeriahkan dengan persembahan busking oleh penduduk kampung yang bebas memilih dan menyanyikan lagu pilihan masing-masing, menjadikan suasana petang di tepi sungai lebih harmoni dan penuh semangat kebersamaan.
“Seronok melihat semangat kebersamaan yang begitu kuat dalam kalangan penduduk. Semua lapisan masyarakat , dari anak muda hingga warga emas — hadir memeriahkan program ini,” kata Redonah.
Menurut beliau, program sebegini bukan sahaja menjadi wadah memperkukuh silaturahim antara masyarakat, tetapi juga platform penting untuk mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat di peringkat akar umbi.
“Kebersamaan dan keharmonian yang ditunjukkan oleh penduduk Kampung Tambun Laut hari ini adalah lambang kekuatan komuniti luar bandar Sabah. Semangat ini perlu dikekalkan agar masyarakat terus bersatu dan saling menyokong antara satu sama lain,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut, sambil menzahirkan harapan agar nilai perpaduan dan keharmonian yang terpupuk dalam kalangan penduduk akan terus subur.
— TAMAT



























Add Comment