KOTA KINABALU:Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor disifatkan sebagai pentadbiran yang berani membawa pembaharuan melalui pelaksanaan dasar-dasar baharu yang belum pernah dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan terdahulu.
Menurut pemerhati politik tempatan, Musram Haji Rakunman, pendekatan GRS melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) telah mengubah landskap pembangunan negeri daripada sekadar slogan politik kepada dasar berimpak tinggi yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“GRS memperkenalkan dasar berpaksikan realiti rakyat, bukan retorik. Program seperti Rumah Mesra SMJ, insurans rakyat, bantuan tunai kepada keluarga miskin dan warga emas, serta pelbagai inisiatif perniagaan untuk belia membuktikan kerajaan ini benar-benar bekerja untuk rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Musram berkata, dasar-dasar yang diperkenalkan GRS bersifat inklusif dan merentas fahaman politik, menggambarkan kematangan pentadbiran yang memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang parti.
“Inilah yang membezakan GRS daripada kerajaan terdahulu. Bantuan dan peluang disalurkan berdasarkan keperluan sebenar, bukan pertimbangan politik. Ia menunjukkan kerajaan GRS mengutamakan prinsip keadilan dan tanggungjawab sosial,” jelasnya.
Beliau berkata, keberkesanan pelaksanaan dasar ini membuktikan GRS tidak terperangkap dalam kitaran janji atau retorik semata-mata, sebaliknya menumpukan kepada tindakan berasaskan hasil dan keberkesanan sebenar di lapangan.
Musram turut menegaskan, kejayaan pelbagai dasar GRS menimbulkan kegusaran dalam kalangan sesetengah pemimpin pembangkang yang kehabisan modal politik dan cuba menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan.
“Sebahagian mereka masih berpolitik dengan nada lama , menyerang tanpa menawarkan alternatif. Sedangkan rakyat hari ini lebih bijak menilai berdasarkan bukti kerja, bukan sekadar janji manis atau ucapan lantang,” katanya.
Menurutnya, rekod pencapaian GRS sepanjang lima tahun mentadbir negeri menjadi “manifesto semula jadi” menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November ini.
“Jika semua calon GRS turun ke akar umbi membawa bukti pencapaian sebenar kerajaan, ia akan menjadi kelebihan besar yang tidak mampu disaingi mana-mana parti lain. Rakyat kini melihat perubahan nyata, bukan sekadar mendengar janji,” tegasnya.
Musram menambah bahawa persoalan utama menjelang PRN kali ini bukan lagi siapa yang paling lantang berpolitik, tetapi siapa yang benar-benar melaksanakan dasar yang mengubah kehidupan rakyat.
“Dalam hal ini, GRS memiliki kelebihan yang jelas , dasar yang hidup, dasar yang menyentuh rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan GRS telah membuktikan kesungguhan mentadbir dengan berlandaskan tindakan dan hasil kerja nyata, bukannya retorik politik.
— TAMAT

























Add Comment